HARGA ayam tanpa subsidi kerajaan adalah antara RM10 hingga RM12.50 sekilogram mulai 1 Julai, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi hari ini.
Beliau berkata kementerian memahami dan menjangkakan harganya lebih tinggi daripada RM10 berikutan kenaikan kos, namun apabila ditanya sama ada ia akan melebihi RM12.50, beliau berkata persatuan yang terlibat dalam penternakan ayam berkata harga tidak akan mencapai tahap itu.
“Harga ayam akan diapungkan mengikut pasaran, kami menjangkakan ini. Persatuan terbabit berkata ia akan lebih tinggi sedikit daripada RM10, tetapi ia tidak akan mencapai itu (RM12.50).
“Tetapi saya tidak boleh mengesahkan. Saya hanya memberi jaminan kepada pengguna bahawa jika mereka menaikkan harga terlalu tinggi, kita akan menggunakan undang-undang terhadap mereka untuk pencatutan,” kata menteri itu selepas sesi dialog dengan kumpulan pengeluar makanan hari ini.
Video sidang akhbarnya telah disiarkan ke Facebook kementerian.
Alexander juga berkata harga telur juga akan naik mulai 1 Julai.
Harga ayam standard kini dihadkan pada RM8.90 sekilogram dan RM9.90 sekilogram untuk ayam super di bawah skim harga runcit maksimum kerajaan yang ditetapkan bermula Februari hingga awal Jun.
Skim itu dilanjutkan sehingga akhir bulan ini di tengah-tengah kekurangan ayam kerana petani bergelut dengan pengeluaran yang lebih rendah disebabkan peningkatan kos makanan import, dan masalah lain seperti cuaca dan kekurangan pekerja.
Menurutnya, beliau menerima maklum balas daripada penternak ayam hari ini berhubung kekurangan pekerja di ladang, kerana mereka berdepan saingan daripada sektor lain seperti ladag kelapa sawit, yang membayar pekerja asing lebih tinggi.
“Memang benar ladang ayam menghadapi kekurangan pekerja asing. Ramai daripada mereka menuju ke perladangan dan bukannya ternakan ayam,” kata Alexander.
Katanya walaupun harga ayam akan meningkat, kumpulan berpendapatan rendah akan menerima bantuan daripada kerajaan menerusi bantuan kewangan tunai bersasar, yang mana butirannya akan diumumkan Kementerian Kewangan. – 21 Jun, 2022.
Komen