POLIS menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah yang dipercayai mampu menampung penggunaan sehingga 31,380 orang penagih.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan di Segambut, di Kuala Lumpur, Jumaat lepas dan polis menjumpai 300 biji pil Erimin 5 seberat 93.88 gram (g) di dalam poket seluarnya.
“Hasil soal siasat lanjut, suspek telah membawa polis ke rumahnya (di Segambut) dan merampas ketamin seberat 130 g, methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.5 kilogram dan pil ekstasi seberat 7.25 g yang keseluruhannya dianggar bernilai RM121,863,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata lelaki itu yang dipercayai aktif di Lembah Klang sejak awal tahun ini menjual dadah kepada mereka yang dikenalinya sahaja dengan menghantar dadah berkenaan kepada pembeli atau pembeli datang ke rumahnya.
Beh berkata suspek juga mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah namun ujian air kencingnya didapati negatif.
Menurutnya, polis juga sedang mengenal pasti dan mengesan saki-baki ahli sindiket berkenaan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 18 Jun lepas sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama, 21 Jun, 2022.
Komen