SEBAHAGIAN daripada jajaran projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka hanya akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan masalah dihadapi kontraktor dilantik selain isu pengambilan tanah.
Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata pihaknya sedar akan masalah yang dihadapi dan telah mengambil langkah sepatutnya berhubung kelewatan itu termasuk perubahan dari segi jajaran projek.
“Dalam proses pengambilan tanah, seperti yang kita tahu ia bukan di bawah kawalan kami tetapi di bawah kerajaan negeri. Mereka terpaksa menyelesaikan banyak perkara, apabila tanah tidak selesai projek itu tidak dapat dijalankan.
“Jadi saya jangkakan ada sebahagian ‘portion’ daripada WCE itu hanya akan siap tiga tahun daripada sekarang,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2022 hari ini.
Beliau menarik perhatian, pihak kontraktor berdepan beberapa masalah teknikal untuk meneruskan projek di satu seksyen di jajaran WCE di Tanjong Karang-Sabak Bernam, Selangor sehingga menyebabkan IJM Corporation Bhd (IJM) sendiri mengambil alih projek itu.
Berdasarkan jadual asal, jajaran WCE itu dijangka siap pada penghujung 2022 atau awal 2023.
Namun ia telah gagal mengikut jadualnya kerana masalah berkaitan isu pengambilan tanah selain penjajaran baharu di kawasan terlibat. – Bernama, 21 Jun, 2022.
Komen