China seru dunia tentang ucapan kebencian, utamakan pendidikan


Wakil China di PBB Zhang Jun berkata semua negara perlu utamakan pendidikan untuk memupuk generasi muda yang mempunyai sikap memahami dan saling menghormati perbezaan budaya. – Gambar EPA, 21 Jun, 2022.

CHINA menyeru semua negara saling menghormati, berdialog secara saksama dan bersama-sama menentang ucapan yang bertujuan menghasut serta berbaur kebencian, kata wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun.

Zhang berkata semua negara juga perlu bersama-sama menangani serta menghapuskan ucapan kebencian dan mementingkan peranan pendidikan.

“Selain itu, semua negara perlu mementingkan peranan pendidikan dalam membantu menghapuskan ucapan kebencian untuk memupuk generasi muda yang mempunyai sikap memahami dan saling menghormati perbezaan budaya di samping meningkatkan keupayaan orang awam untuk mengasingkan serta mengulas maklumat.

“Pada masa  sama, pemimpin politik dan media perlu memikul tanggungjawab untuk tidak mengeluarkan dan menyebarkan ucapan kebencian, sebaliknya menjunjung tinggi kebudayaan inklusif,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam mesyuarat peringkat tinggi bukan rasmi Hari Antarabangsa Menentang Ucapan Kebencian Perhimpunan Agung PBB pada Isnin.

Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi menetapkan 18 Jun sebagai Hari Antarabangsa Menentang Ucapan Kebencian pada Julai 2021 dan China merupakan antara negara yang mengemukakan resolusi itu.

Zhang berkata ucapan rasisme boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah kebencian.

“Kini, pemikiran melampau yang mendiskriminasikan keturunan Afrika serta membenci keturunan Asia adalah merisaukan dan ‘Simptom ketakutan Islam’ akibat ucapan kebencian juga kian serius.

“Oleh itu, resolusi diluluskan Mac lalu untuk menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa menentang ‘simptom ketakutan Islam’.

“China sebagai satu daripada negara yang mengemukakan resolusi itu akan terus berusaha bersama-sama pelbagai pihak demi mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Zhang menekankan bahawa China bersedia bersama-sama semua negara untuk mengamalkan multilateralisme yang sebenar, mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan mewujudkan dunia yang lebih aman. – Bernama, 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen