Khairy pula nafi terima dana UKSB


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan beliau pernah menerima sebarang dana daripada UKSB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata beliau tidak pernah menerima sebarang dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang memberikan wang kepada bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli politik lain mengikut bukti mahkamah.

“Saya tidak pernah secara peribadi menerima apa-apa…saya tidak menerima sebarang wang.

“Saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya (jika dipanggil),” katanya pada satu majlis di Selangor hari ini.

Khairy dan ahli politik lain yang diberi dana direkodkan di bawah nama kod atau nama panggilan dalam lejar UKSB. Ia muncul di mahkamah minggu lalu apabila saksi memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah Zahid kerana menerima sogokan bagi memastikan UKSB mengekalkan kontrak untuk sistem visa asing semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Menurut bekas pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Khairy tidak diberikan dana secara langsung tetapi melalui Umno Bahagian Rumba untuk digunakan sebagai bantuan politik, bantuan bencana dan aktiviti kemanusiaan.

Khairy ketika itu adalah timbalan ketua bahagian, menteri belia dan sukan serta Ketua Pemuda Umno.

Jumlah yang diberikan kepada bahagian Rumba adalah dalam sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000, kata Wan Quoris.

Menurut bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identitinya dikaburkan dalam kod atau nama panggilan.

Nama “KJ” juga direkodkan dalam lejar UKSB, seorang lagi saksi pendakwaan dari UKSB, Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah.

Lejar merekodkan pembayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu dari 2014 hingga 2018.

Seorang lagi ahli politik dalam lejar itu termasuk menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin yang diberi sejumlah RM1.3 juta pada 2018 semasa beliau memegang portfolio di bawah Pakatan Harapan.

Ahli politik yang dinamakan ialah Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal dan Anifah Aman.

Susulan keterangan di mahkamah Muhyiddin menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB dengan berkata beliau sedang mendapatkan rawatan kanser pada tarikh yang diberikan saksi. – 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen