DUA rakyat Amerika Syarikat (AS) yang ditangkap di Ukraine telah “membahayakan” tentera Rusia dan wajib “bertanggungjawab atas jenayah tersebut,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov dalam satu wawancara yang dikeluarkan NBC News pada Isnin.
Temu bual itu menandakan kali pertama Kremlin mengulas mengenai kes Alexander Drueke dan Andy Huynh, kedua-duanya veteran tentera AS, menurut NBC.
“Mereka askar yang terlibat dalam aktiviti haram di wilayah Ukraine. Mereka terlibat dalam menembak dan membedil anggota tentera kami. Mereka membahayakan nyawa mereka,” kata Peskov kepada rangkaian itu dalam bahasa Inggeris.
“Mereka wajib bertanggungjawab terhadap jenayah yang mereka lakukan,” tambahnya dalam bahagian pertama wawancara yang didedahkan kepada umum.
“Jenayah itu perlu disiasat.”
Apabila ditekan mengenai jenayah yang dilakukan oleh Amerika, Peskov mengakui kesalahan khusus mereka belum diketahui tetapi mendakwa ia tidak akan dilindungi oleh konvensyen Geneva mengenai tawanan perang.
“Mereka bukan (dalam) tentera Ukraine, jadi mereka tidak tertakluk kepada Konvensyen Geneva,” kata jurucakap Kremlin itu.
Minggu lepas, saluran TV Rusia menyiarkan video di media sosial mengenai Drueke dan Huynh.
Keadaan di mana kedua-dua lelaki itu ditahan tidak jelas sepenuhnya, mahupun siapa yang secara khusus menahan mereka. Peskov hanya berkata mereka ditahan oleh “pihak berkuasa.”
Sama ada mereka boleh menghadapi hukuman mati, Peskov berkata: “Ia bergantung kepada siasatan.”
Presiden AS Joe Biden berkata pada Jumaat beliau tidak tahu di mana Drueke dan Huynh, yang dipercayai telah menyertai warga asing lain secara sukarela bersama tentera Ukraine.
Jurucakap Jabatan Negara AS pada Sabtu mengesahkan pihak berkuasa Amerika telah melihat foto dan video dua warga AS itu “dilaporkan ditangkap oleh pasukan tentera Rusia di Ukraine.”
Majalah Rolling Stone juga melaporkan pada Isnin seorang warga Amerika kedua telah meninggal dunia ketika berperang di Ukraine selepas terpijak periuk api. – AFP, 21 Jun, 2022.
Komen