Mogok kereta api terbesar Britain sejak lebih 30 tahun


Menurut RMT, mogok pekerja yang menuntut kenaikan gaji berikutan inflasi melambung, merupakan pertikaian terbesar dalam rangkaian kereta api Britain sejak 1989. – Gambar EPA, 21 Jun, 2022.

PEKERJA kereta api Britain pada Selasa memulakan mogok terbesar rangkaian itu sejak lebih tiga dekad berikutan krisis kos sara hidup disebabkan inflasi yang melonjak.

Rundingan terakhir untuk mengelak mogok gagal pada Isnin, bermakna lebih 50,000 anggota kesatuan kereta api RMT tidak akan bertugas selama tiga hari minggu ini.

Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch menyifatkan tawaran “tidak boleh diterima” untuk kenaikan gaji di bawah inflasi oleh kedua-dua pengendali kereta api atas tanah dan London Underground yang mengendalikan Tube di ibu negara.

Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps berkata kerajaan sedang melakukan segala yang boleh untuk mengurangkan “gangguan besar-besaran” yang dijangkakan.

Namun beliau memberitahu Parlimen pada Isnin: “Dianggarkan kira-kira 20 peratus daripada perkhidmatan yang dirancang akan beroperasi, tertumpu kepada pekerja utama, pusat populasi utama dan laluan pengangkutan kritikal.”

Mogok itu - juga pada Khamis dan Sabtu - berisiko menyebabkan gangguan ketara kepada acara-acara besar termasuk festival muzik Glastonbury.

Pihak sekolah memberi amaran beribu-ribu remaja yang mengambil peperiksaan kebangsaan juga akan terjejas.

Mogok itu merupakan pertikaian terbesar dalam rangkaian kereta api Britain sejak 1989, menurut RMT.

Pengendali kereta api, bagaimanapun, memberi amaran tentang gangguan sepanjang minggu, dengan laluan yang tidak terjejas oleh tindakan mogok masih perlu mengurangkan perkhidmatan.

Ahli RMT di London Underground juga sedang mengadakan pemberhentian kereta api Tube 24 jam pada Selasa.

Kesatuan itu berhujah yang mogok itu perlu kerana gaji tidak seiring dengan inflasi UK, yang telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan tidak menunjukkan tanda untuk menurun. – AFP, 21 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen