Dakwaan Azmin jumpa pemimpin PKR strategi pecahkan Bersatu, kata Hilman


Setiausaha PN Selangor Muhamad Hilman Idham berkata dakwaan Mohamed Azmin Ali bertemu dengan pemimpin PKR adalah strategi jahat untuk memecahkan Bersatu dan PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2022.

DAKWAAN Mohamed Azmin Ali bertemu dengan pemimpin PKR adalah strategi jahat untuk memecahkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), kata setiausaha PN Selangor Muhamad Hilman Idham.

Hilman yang juga setiausaha politik Azmin menafikan pertemuan dan perbincangan seperti yang dilaporkan oleh media, yang didakwanya dipengaruhi PKR.

“Saya percaya spekulasi ini direka sebagai strategi jahat untuk menimbulkan keraguan dan kesangsian di kalangan anggota Bersatu dan Perikatan Nasional terhadap komitmen beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Hilman membuat kenyataan ini empat hari selepas Azmin menegaskan beliau teguh bersama Bersatu yang disifatkannya parti politik unggul untuk rakyat Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya,” kata Azmin Jumaat lepas di tengah spekulasi hangat beliau akan menyusul Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada hujung Februari 2020 ketika mereka terlibat dalam percaturan politik Langkah Sheraton yang menyingkirkan Pakatan Harapan dari Putrajaya.

Mereka kemudian dilantik sebagai menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan seterusnya menyertai Bersatu. Selepas Muhyiddin letak jawatan perdana menteri dan diganti Ismail Sabri Yaakob, mereka kekal sebagai menteri.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai PBM. Pengumumannya menamatkan desas-desus sejak akhir tahun lalu mengenai penglibatannya sebagai dalang utama penubuhan parti itu.

Dalam pada itu, Hilman berkata Azmin dan semua bekas anggota PKR sama ada yang dipecat atau yang keluar parti tidak berhasrat untuk kembali bersama parti pimpinan Anwar Ibrahim itu.

“(Kami) tidak langsung berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia rakus tanpa hala tuju untuk memelihara kebajikan rakyat. 

“Kami akan terus mempertahankan panji-panji Bersatu dan Perikatan Nasional demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen bekas PKR yang kini anggota Bersatu, antaranya Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Saifuddin Abdullah (Temerloh) sebelum ini juga menegaskan tidak akan menyertai PBM.

Minggu lalu, PBM mengumumkan Zuraida sebagai bakal presiden parti. – 21 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen