MENGHALALKAN pendatang tanpa izin sebagai tenaga kerja bukan idea bodoh seperti yang dikatakan Menteri Sumber Manusia M Saravanan, kata Lawyers for Liberty (LFL).
Kenyataan itu dikeluarkan menteri yang kononnya komited untuk menangani isu buruh paksa di negara ini dangkal dan mengecewakan, menurut kumpulan peguam itu.
“Reaksi menteri ringkas, dangkal dan tidak mempedulikan punca pendatang asing masuk ke negara ini, kata Ketua penyelaras LFL Zaid Malek dalam kenyataan hari ini.
“Kebanyakan pendatang asing tanpa izin menjadi mangsa keadaan, mereka bukan segaja melanggar undang-undang imigresen negara kita.
“Mereka menjadi pendatang tanpa izin kerana ditipu oleh ejen dan majikan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.
Minggu lalu, Saravanan dilaporkan berkata idea untuk menghalalkan pendatang tanpa izin sebagai tenaga kerja ‘bodoh’, yang boleh membawa kesan yang tidak diingini kepada tenaga kerja negara.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata tindakan terbaik sebenarnya ialah menghantar pulang tanpa izin itu ke negara asal mereka jadi tidak timbul masalah terutama membabitkan tenaga kerja negara.
“Ia adalah idea ‘bodoh’ untuk membenarkan (mereka bekerja) sedangkan mereka masuk secara haram ke negara anda, mereka mesti dihantar pulang dan bukan menghalalkan mereka, jika pendatang haram datang ke negara anda dan mereka dihalalkan bermakna kita akan mempunyai lebih ramai pendatang tanpa izin ke negara ini.
“Kita tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang menggalakkan pendatang tanpa izin datang ke negara kita,” katanya dipetik Bernama.
Mengulas lanjut, Zaid berkata kerajaan perlu menerima hakikat bahawa kebanjiran Pati di Malaysia berpunca daripada dasar buruh dan penguatkuasaan yang lemah serta rasuah.
Tambahnya, cara pendatang asing ini masuk dibawa ke negara ini sendiri boleh dianggap sebagai perdagangan manusia.
Mengusir Pati adalah tindakan kejam dan tidak adil kerana mereka mangsa penipuan ejen dan majikan yang tidak bertanggungjawab, kata Zaid. – 21 Jun, 2022.
Komen