PKR tidak akan bekerjasama dengan Mohamed Azmin Ali, kata parti itu hari ini.
“Majlis Pimpinan Pusat MPP memutuskan PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat malam tadi.
PKR mengulas berkenaan khabar mengatakan Azmin bertemu pemimpin PKR untuk kemungkinan berbaik semula.
Dilaporkan Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, bertemu pemimpin PKR di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 15 Jun. laporan itu turut mengaitkan mesyuarat itu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Pada Februari, 2020, Azmin yang juga timbalan presiden PKR pada masa itu, naib presiden Zuraida Kamaruddin, mengetuai 10 wakil rakyat PKR keluar parti dan menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Mereka kemudian menyertai Bersatu, namun Zuraida keluar parti itu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia, selepas kekelahan teruk Bersatu pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini.
Sementara itu, PKR memutuskan mengadakan kongres Wanita dan Pemuda pada 15 Julai di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.
“Kongres Nasional akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai, juga bertempat di IDCC. Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU15 serta pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai, 2022,” kata parti itu.
Dalam perkembangan lain, PKR berkata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam masa terdekat akan mengumumkan secara rasmi saf kepimpinan yang baharu, cabang serta pimpinan utama parti.
“Saf kepimpinan baharu ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh politik PKR pada PRU15.” – 21 Jun, 2022.
Komen