Samirah, 2 remaja bebas tuduhan bunuh CEO Cradle Fund


Alfian Z.M. Tahir

Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki bebas daripada tuduhan membunuh suaminya CEO Cradle Fund Nazrin Hassan pada Jun 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Jun, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh suaminya ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan pada Jun 2018.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mereka didakwa secara bersama melakukan jenayah bunuh pada 14 Jun 2018 di sebuah rumah dua tingkat di Mutiara Damansara, Selangor, dan kemudian dituduh cuba menyembunyikannya sebagai satu kejadian kebakaran.

Mereka juga didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, yang ketika itu pembantu rumah.

Hakim Ab Karim ketika membacakan penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dengan kukuh masa sebenar kematian Nazrin berlaku antara 11.30 malam  pada 13 Jun 2018 dan 4.30 pagi esoknya.

Beliau juga berkata tiada bukti langsung mengaitkan Samirah dan dua remaja dengan pembunuhan Nazrin.

“Pendakwaan mengatakan si mati meninggal dunia pada masa ini (dalam kertas pertuduhan), tetapi keterangan kakak (Che Elainee Che Hassan) si mati menyebut dia (Nazrin) membaca mesejnya pada pukul 11.50 malam.

“Pihak pendakwaan hanya ‘mengandaikan’  Samirah dan remaja terbabit berada bersama Nazrin semasa dia meninggal dunia,” kata hakim.

Ab Karim seterusnya berkata, pihak pendakwaan cuba mengaitkan Samirah dengan mendakwa balu Nazrin itu tidak memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan saksi berkata wanita itu tidak “bersedih” dengan kematian suaminya.

Motif pembunuhan Nazrin juga gagal dinyatakan dengan jelas, katanya.

“Pihak pendakwaan cuba menggambarkan ia berpunca daripada wang insurans, tetapi pada masa yang sama mereka berhujah bahawa motif dalam kes ini tidak jelas.”

Karim bagaimanapun bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembunuhan Nazrin dirancang dan bilik mangsa dibakar dengan sengaja.

Hakim itu juga bersetuju hasil laporan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan disebabkan objek tumpul, bukan letupan telefon bimbit.

“Tiada letupan berlaku. Ujian x-ray mendapati tiada kesan letupan, komponen telefon Blackberry dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda bateri telefon terlebih cas,” jelasnya.

Beliau bersetuju terdapat tanda-tanda kecederaan disebbakan objek tumpul pada kepala Nazrin.

“Si mati tidak menunjukkan sebarang tanda cuba melarikan diri dan dia telah meninggal dunia semasa kebakaran berlaku.

“Kebakaran itu disengajakan dan terdapat kesan darah di dinding yang menunjukkan Nazrin bergelut sebelum meninggal dunia.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 14 Februari lalu selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) KualaLumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. – 21 Jun, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen