SEKUMPULAN penembak menculik 36 mangsa selepas menyerang beberapa perkampungan dan dua gereja di barat daya Nigeria, kata pihak berkuasa.
Pesuruhjaya keselamatan tempatan Samuel Aruwan berkata kumpulan itu juga melarikan berpuluh-puluh mangsa pada Ahad, dalam serangan dan insiden penculikan beramai-ramai yang terbaru di rantau itu.
Kumpulan bersenjata sering menyerbu dan menculik di kawasan itu. Insiden terbaru itu berlaku hanya selepas dua minggu sekumpulan penyerang membunuh 40 mangsa di sebuah gereja.
Dalam serangan pada Ahad lalu, Aruwan berkata kumpulan penembak itu menyerbu beberapa kampung sebelum ke Gereja Maranatha Baptist dan Gereja Katolik St Moses di Rubu, kawasan Kajuru di Kaduna.
Tiga individu turut terbunuh dalam serbuan itu, katanya.
“Seramai 36 dikenal pasti diculik penjahat yang turut menyerang kampung di Kajuru. Semalam, mereka membebaskan dua tebusan, termasuk ketua kampung. Seramai 34 yang lain masih dalam tahanan penjahat.”
Dalam satu kenyataan, polis berkata kumpulan penembak itu menyerbu kampung menggunakan motosikal dan turut merompak kedai. – AFP, 21 Jun, 2022.
Komen