Petua Arshad Ayub


Faisal Tehrani

Tokoh pendidikan Arshad Ayub digelar 'arkitek' pembangunan dan perkembangan unggul Institut Teknologi Mara. Beliau meninggal dunia pada 14 Jun lalu – Gambar Facebook, 21 Jun, 2022.

PEMERGIAN tokoh pendidikan Arshad Ayub ke alam abadi pada 14 Jun lalu mendapat liputan meluas media. Pun, generasi baru hari ini kurang mengenal sumbangan beliau dalam dunia pendidikan khususnya di peringkat pengajian tinggi.

Ada beberapa formula Arshad dalam bidang pendidikan yang boleh dikenang dan menjadi mutiara pengimbang buat kita hari ini. Salah satu yang mungkin sangat kontroversi ialah sikap dan ketegasan beliau untuk ‘memaksakan’ bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di ITM (sekarang UiTM) yang sedikit sebanyak membibit rasa jengkel yang bukan sedikit daripada pejuang bahasa Melayu. 

Ketika menyarankan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di ITM, sayugia dinyatakan langkah dan tindakan beliau itu agak menolak arus. Sayugia diingatkan ketika penubuhan ITM tersebut, suara agar mendaulatkan bahasa Melayu sedang digendang gemuruh. 

Arshad tanpa maaf membalas: “I am here to save the Malay race, not the Malay language.” (Saya hendak menyelamatkan bangsa Melayu, bukan bahasa Melayu.)

Kedegilan Arshad memantakkan bahasa Inggeris sebagai pengantar di ITM itu tentunya menimbulkan keributan dan serangan hebat daripada kalangan tokoh dan pertubuhan Melayu. Akan tetapi pada waktu itu, penongkahan arus tersebut ternyata mengajar kita beberapa hal lain. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pernah menyatakan yang pilihan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu oleh Arshad itu mengisyaratkan beberapa hal lain mengenai orang Melayu.

Pertama menurut baginda, orang Melayu boleh menguasai bahasa Inggeris. Kedua, jika pengajaran dan cara penguasaan ilmu itu betul, disiapkan dengan rencana yang rapi; orang Melayu dapat menangkap bahasa Inggeris tanpa keciciran. 

Hal ini menurut baginda, ketiganya dilakukan dengan “pelan komunikasi yang efektif” dan penerangan yang telus kepada “kumpulan sasar dan masyarakat umum”. 

Keempat, sungguh pun bahasa Inggeris diberi tempat yang berlebihan, itu tidak pula menjadikan bahasa Melayu dengan status bahasa kebangsaan dibangsatkan, ini kerana dalam majlis dan urusan rasmi di ITM (dan UiTM), bahasa Melayu masih diberi peranan besar. 

Pelajaran terbesar daripada episod pemartabatan bahasa Inggeris berbanding Melayu itu menurut baginda Sultan Nazrin tidak syak lagi adalah bahawa jika “retorik politik yang berpaksikan kaum – berpaksikan agama dapat diminimumkan, dan politik yang mensensasikan kaum – mensensasikan agama dapat dihentikan” maka manfaat baik dapat diraih oleh anggota masyarakat, yang mana dalam kes ini, orang Melayu.

Sebetulnya, jika masih ada kedegilan ala Arshad untuk meluruskan semua etnik di negara ini (menerusi sektor pendidikan) kita tidak akan melihat Malaysia yang terpecah-pecah (di peringkat sekolah) yang mana satu suku memperjuangkan pemartabatan bahasa Melayu, manakala suku lain pula tidak dapat melepaskan bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin dan Tamil. Akan tetapi eksperimen Arshad itu ternyata terhad di ITM dan tidak sampai berkembang ke peringkat lain (di sekolah misalnya).

Petua lain yang dipaksakan oleh Arshad, tidak kurang kontroversinya. Arshad memperkenalkan kursus yang sangat fungsional sifatnya di ITM. Niat beliau ialah melahirkan suatu kelompok Melayu yang asalnya dari desa, dapat menguasai kemahiran profesional, dan kemahiran berkomunikasi. 

Ketika itu memang ada kecanggungan tatkala ITM memperkenalkan kursus-kursus seperti Kajian Perniagaan, Kajian Senibina, Kajian Senilukis, Perladangan, Sains Gunaan, dan Kejuruteraan. Bukan sedikit tingkah yang mentertawakan, “nanti keluar universiti nak kerja apa?”.

Di tengah-tengah itu Arshad juga mewajibkan pelajar ITM mempelajari bahasa asing dengan membuka jalan kepada pengajian bahasa asing selain Inggeris seperti Perancis dan Jerman, Mandarin dan Tamil. Pelajar yang memasuki Diploma Perladangan sebagai contoh mengambil bahasa Tamil untuk lebih efektif di alam pekerjaan.

Pada awal penubuhannya, pensyarah ITM antaranya datang dari Perancis, Russia, Kanada, Australia Volunteer Service dan US Service Peace Corps.

Hari ini graduan ITM atau UiTM sering dipuji sebagai cekatan berbanding graduan universiti awam yang lain, khusus di ruang kerja. Salah satu yang menjadikan hal ini agak menjadi, tentunya kerana formula Arshad yang terkehadapan tatkala itu.

Untuk siswa berjaya, Arshad berpandangan pensyarah mempunyai saham yang besar. Pensyarah menurut beliau harus memberikan komitmen 100 peratus. 

Dalam satu wawancara dengan media, beliau mengeluh: “Apa yang berlaku sekarang tidak mencukupi. Mereka hanya beri 50 hingga 60 peratus sahaja. Ada yang hanya mahu membina kehebatan diri bukan kehebatan pelajar.”

Arshad turut menasihati pendidik di universiti agar melatih siswa dan bukan meletihkan siswa. 

Seperkara lain, majoriti pensyarah ITM dalam tahun-tahun 1980-an juga adalah bukan Melayu, yang mana mereka ditugaskan untuk  membangunkan modal insan Melayu. Itu hanya dapat terjadi kerana Arshad tidak memiliki sifat prejudis dan perkauman. 

Justeru memang mengkagetkan jika ada pertubuhan Melayu-Islam hari ini yang sibuk-sibuk mengangkat Arshad tanpa melihat sejarah dan rekod cemerlang almarhum. 

Satu hal lain yang menurut saya penting untuk direnung oleh rektor atau naib canselor di universiti awam hari ini ialah bagaimana Arshad menghormati hak siswa. Pada tahun-tahun 1970-an, demonstrasi dan rusuhan menjadi bahasa pelajar. Arshad secara hati nurani membiarkan pelajar atau siswa untuk menunjuk perasaan. Dia tidak terlalu mengongkong. 

Ibrahim Ali, salah seorang aktivis siswa ITM ketika itu, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di kem tahanan Kemunting Taiping. Menurut Ibrahim, Arshad bukan sahaja membenarkannya meneruskan pengajian dan menduduki peperiksaan tahun akhir dalam tahanan, tetapi ikut beberapa kali menziarahinya dalam penjara.

Jika dibandingkan sikap pimpinan dan pengurusan atas universiti hari ini terhadap para siswa dan pelajar, ternyata tiada siapa dapat mencontohi keterbukaan dan rasa kasih Arshad. – 21 Jun, 2022.     

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen