4 cedera, bas rempuh penghadang tol 


SEBUAH bas ekspres terbabas lalu merempuh penghadang tol di susur keluar Plaza Tol Ipoh Utara, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Ipoh petang ini, mengakibatkan empat penumpang mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 3.08 petang.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa bas yang dalam perjalanan dari arah utara itu menuju susur keluar untuk ke Terminal Amanjaya di Meru Raya, dan semasa kejadian ia membawa 16 penumpang.

“Penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya operasi tamat pada jam 4.18 petang dan bomba melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan semua berada dalam keadaan yang selamat. – Bernama, 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen