UKRAINE pada Isnin berkata ia telah kehilangan kawalan ke atas sebuah kampung bersebelahan dengan bandar perindustrian timur Severodonetsk.
Ia merupakan lokasi pertempuran sengit sejak berminggu-minggu dengan tentera Rusia yang menyerang.
“Malangnya, kami tidak mengawal Metyolkine lagi. Dan musuh terus membina jajahannya,” kata gabenor wilayah Lugansk Sergiy Gaiday dalam satu kenyataan di media sosial.
Penguasaan Rusia ke atas perkampungan yang mempunyai populasi sebelum perang sekitar 1,000 orang, adalah yang terbaru di sekitar Severodonetsk, yang mana tentera Moscow telah berdepan tentangan keras tentera Ukraine.
Tentera Rusia perlahan-lahan mara di wilayah timur Donbas di mana mereka menumpukan usaha ketenteraan mereka selepas ditolak keluar dari kawasan sekitar ibu negara pada permulaan pencerobohan mereka pada Februari.
Gaiday berkata bahawa loji kimia Azot di Severodonetsk, yang dikatakan menjadi tempat berlindung ratusan orang awam, telah dibedil oleh tentera Rusia “secara berterusan”.
Sementara itu, ketua pentadbiran bandar, Oleksandr Stryuk memberitahu televisyen Ukraine pada Isnin bahawa tentera Moscow mengawal kebanyakan kawasan perumahan di bandar itu.
“Jika kita bercakap tentang seluruh bandar, masih lebih daripada satu pertiga dikawal oleh angkatan tentera kita. Rusia mengawal selebihnya,” katanya.
“Terdapat pertempuran jalanan sepanjang masa,” tambahnya, berkata tentera Ukraine dibedil secara berterusan.
“Musuh menghantar lebih ramai tentera untuk melakukan serangan dan menyerbu bandar dan menolak keluar tentera kita,” kata Stryuk. – AFP, 20 Jun, 2022.
Komen