Pengundi lesu, PKR gerak kempen ke seluruh negara bermula Julai


Timbalan Presiden PRK Rafizi Ramli berkata kempen Ayuh Malaysia digerakkan untuk menangani kelesuan pengundi memandangkan Dewan Rakyat dijangka dibubarkan antara Ogos dan September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

TIMBALAN presiden PKR terpilih Rafizi Ramli akan menggerakkan kempen bermula bermula Julai untuk menarik penyokong parti itu dan juga Pakatan Harapan (PH) keluar mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Rafizi berkata kempen Ayuh Malaysia digerakkan untuk menangani kelesuan pengundi atas keyakinannya Dewan Rakyat dijangka dibubarkan antara Ogos dan September.

“Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti sedia ada tinggi,” kata Rafizi.

Jelasnya, kempen itu untuk meyakinkan pengundi tegar PH, pengundi atas pagar di kerusi utama, dan pengundi kali pertama termasuk dari kalangan pengundi muda bawah 25 tahun.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu menjangkakan PH berupaya menjadi blok terbesar di Dewan Rakyat jika 70% pengundi tegar dan 5% penyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kembali mengundi.

Rafizi berkata, perkara itu juga akan dapat direalisasikan sekiranya PH berjaya mendapat 30% daripada jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum.

“Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Julai dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur.”

Beliau mensasarkan penyertaan kira-kira 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal.

Sukarelawan pula katanya akan diberikan latihan khusus sebagai ejen tempat mengundi (PACA), kempen rumah ke rumah, kempen menelefon pengundi dan kempen media sosial.

Selain itu, Rafizi turut berkata, siaran kempen Ayuh Malaysia akan berlangsung antara dua hingga tiga hari di laman media sosial bermula Jumaat, 24 Jun ini.

Ayuh Malaysia juga akan mengadakan majlis kutipan dana pada 2 Julai, di SJKC Chung Kwo di ibu negara bagi membiayai perbelanjaan menyediakan sebuah trak kempen, katanya.

Kandungan utama siaran kempen Ayuh Malaysia katanya akan tertumpu kepada kupasan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah utama yang dihadapi rakyat.

Ia termasuk lima teras kempen Ayuh Malaysia yang diumumkannya sebelum ini.

Kempen berkenaan katanya akan dilaksanakan dengan menggunakan trak melalui ceramah kepada orang ramai.

Selain itu, perbincangan dengan kumpulan tertentu mengenai isu khusus akan diadakan di dalam dewan untuk mengupas pandangan pakar dan orang ramai bagi mencari penyelesaian masalah.

“Kempen akar umbi sebegini akan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial untuk diikuti seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun keadaan telah banyak berubah, saya percaya kesungguhan kita mendekati rakyat akan dapat memenuhi sasaran kempen untuk meningkatkan kadar keluar mengundi serta menarik minat pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama.

“Nantikan pengumuman-pengumuman kempen minggu ini untuk membina gelombang baru Ayuh Malaysia,” kata Rafizi lagi. – 20 Jun, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen