SEKURANG-kurangnya 26 orang lagi maut dalam banjir monsun dan sambaran petir di India, kata pihak berkuasa.
Menurutnya jutaan penduduk lain turut terjejas akibat bencana itu yang turut melanda negara jiran Bangladesh.
Banjir merupakan kejadian biasa di India dan Bangladesh, namun menurut pakar perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan ancaman kepada 1.6 bilion penduduk kedua-dua negara.
Di negeri Assam di timur laut India, tiga orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh manakala enam lagi maut dalam air banjir, kata pihak berkuasa pengurusan bencana.
Di negeri timur Bihar, kilat yang dicetuskan oleh ribut membunuh sekurang-kurangnya 17 orang, menurut menteri pengurusan bencana tempatan Renu Devi.
Assam terus dilanda banjir teruk, dengan 5,140 kampung merentasi 33 daerah di negeri itu ditenggelami air.
Lebih 100,000 penduduk kampung berlindung di pusat perlindungan.
Negeri itu pertama kali dilanda banjir pada April apabila hujan pramonsun tiba, menyebabkan banjir yang mengorbankan 44 orang.
Air banjir surut selepas beberapa minggu, namun meningkat semula pada Jun pada permulaan musim tengkujuh tahunan dan menjadikan jumlah angka korban di negeri itu kepada 71 orang setakat ini.
Di negeri jiran Meghalaya, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh sejak Khamis lalu selepas tanah runtuh dan limpahan sungai yang menenggelamkan jalan raya.
Ribut monsun juga telah menyebabkan banjir yang dahsyat di Bangladesh yang menyebabkan berjuta-juta terkandas dan membunuh berpuluh-puluh penduduk setakat ini.
Pada Isnin, banjir beransur-ansur surut dari daerah timur laut Sylhet, walaupun berjuta-juta penduduk masih terkandas, kata ketua pentadbir daerah itu, Mosharraf Hossain.
“Pusat perlindungan penuh dengan orang yang terjejas. Terdapat krisis besar makanan dan air minuman. Ramai yang takut untuk pulang ke rumah manakala ramai yang kehilangan rumah akibat air banjir,” katanya. – AFP, 20 Jun, 2022.
Komen