Gas Rusia kurang, Austria buka semula stesen janakuasa arang batu


Selain Austria, Jerman turut umum langkah darurat untuk kembali menggunakan semula stesen janakuasa arang batu susulan pengurangan gas dari Moscow akibat konflik Rusia-Ukraine. – Gambar EPA, 20 Jun, 2022.

KERAJAAN Austria pada Ahad mengumumkan ia akan membuka semula stesen janakuasa arang batu berikuran kekurangan tenaga yang timbul selepas penghantaran gas dari Rusia dikurangkan.

Pihak berkuasa akan bekerjasama dengan kumpulan Verbund, pembekal elektrik utama negara itu, bagi memulihkan stesen di bandar selatan Mellach, kata Canselor.

Kenyataan itu susulan mesyuarat krisis kerajaan.

Matlamatnya untuk hasilkan kembali tenaga elektrik daripada arang batu, jika diperlukan dalam keadaan darurat. Tetapi proses itu mungkin mengambil masa beberapa bulan, kata kementerian alam sekitar kepada agensi berita APA Austria.

Stesen janakuasa Mellach, yang merupakan stesen janakuasa bahan api arang batu terakhir di negara itu, ditutup pada 2020 apabila kerajaan menghapuskan tenaga pencemar secara berperingkat dalam usaha untuk beralih kepada 100 peratus tenaga boleh diperbaharui.

“Objektif pertama kami adalah untuk mendapatkan bekalan negara,” kata Canselor konservatif Austria, Karl Nehammer, yang mentadbir bersama parti Greens.

Bagaimanapun 80 peratus daripada bekalan gas negara datang dari Rusia, katanya.

“Ini tentang usaha menggantikan gas Rusia yang tiada dengan sumber atau pembekal lain supaya dapat terus membina rizab,” tambahnya.

Pada pertengahan Jun, Austria mempunyai 39 peratus daripada kapasiti simpanannya, kata kenyataan kerajaan itu.

Moscow telah kehilangan beberapa pelanggan gas Eropah selepas ia menuntut semua negara yang “tidak mesra” membayar gas asli Rusia dalam matawang rubel sebagai tindak balas kepada sekatan Barat terhadap campur tangan tentera Rusia di Ukraine.

Gazprom berkata eksport ke negara yang bukan milik bekas Kesatuan Soviet turun 28.9 peratus antara 1 Januari dan 15 Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jerman juga mengumumkan langkah darurat pada Ahad, termasuk kembali kepada arang batu dalam apa yang disebut sebagai langkah “pahit tetapi sangat diperlukan”. – AFP, 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen