Ramasamy gesa Saravanan jelaskan isu pengambilan pekerja Bangladesh


MENGAPA hanya 25 syarikat sahaja dipilih untuk mengambil pekerja dari Bangladesh dan bagaimana proses pemilihan dibuat, tanya P Ramasamy kepada Kementerian Sumber Manusia.

“Menteri (Sumber Manusia) M Saravanan mungkin sedang lakukan yang terbaik untuk tangani masalah kekurangan pekerja di negara ini, tetapi beliau mesti beri penjelasan dan telus dalam hal ini.

“Secara keseluruhannya, proses pengambilan buruh asing di negara ini penuh dengan rasuah, salah laku kewangan dan layanan buruk terhadap pekerja,” kata timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata ramai pekerja asing menerima layanan buruk sedangkan agensi pekerjaan dan majikan mendapat manfaat besar dari pengambilan buruh asing.

“Tidak dapat dinafikan pengambilan pekerja asing memperkukuh kewujudan dan lanjutan masalah buruh paksa di negara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Perai itu mengulas laporan berita mengenai kerajaan Bangladesh yang tidak berpuas hati dengan rancangan Malaysia untuk mengehadkan proses pengambilan pekerja hanya kepada 25 syarikat.

Saravanan dipetik Bernama semalam berkata, langkah itu dibuat bagi mengelakkan amalan monopoli serta menjaga kebajikan dan mata pencarian pekerja asing.

Ramasamy seterusnya bertanya mengapa tindakan mengehadkan pengambilan pekerja hanya dibuat ke atas Bangladesh tetapi tidak kepada 13 negara lain.

“Tidak diketahui apakah kriteria yang ditetapkan untuk menyenarai pendek agensi ini sedangkan ada beratus lagi syarikat di Bangladesh,” katanya.

Tambah beliau, senarai pendek kepada hanya 25 syarikat ini bermakna kos pengambilan pekerja boleh meningkat empat atau lima kali ganda berbanding RM5,900 bagi seorang pekerja ketika ini, yang tentunya akan membebankan majikan.

Namun, beban kenaikan kos ini sudah pasti akan dipindahkan kepada pekerja, katanya. – 20 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen