Iraq sahkan 13 kes taun


Sebanyak 13 kes taun dilaporkan di Iraq dan lebih banyak lagi kes yang disyaki telah dihantar untuk dianalisis. – Gambar AFP, 20 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 13 orang disahkan dijangkiti wabak taun dan lebih banyak kes yang disyaki telah dihantar untuk dianalisis, kebanyakannya dari wilayah utara Kurdistan, kata pegawai kesihatan semalam.

“10 kes taun direkodkan di wilayah Sulaimaniyah,” kata Ketua Kesihatan daerah di wilayah autonomi Kurdistan Sabah Hawrami. 

Sebanyak 56 lagi kes yang disyaki dari wilayah sama sedang dianalisis oleh makmal pusat di ibu kota Baghdad - satu-satunya yang dapat memberikan diagnosis.

Kementerian kesihatan berkata satu kes didaftarkan di wilayah Kirkuk manakala dua kes direkodkan di wilayah selatan Muthanna.

Tiada kematian didaftarkan.

“Kira-kira 4,000 kes cirit-birit dan muntah direkodkan di hospital Sulaimaniyah dalam tempoh enam hari lalu,” kata Hawrami dalam sidang media.

Penduduk di ibu kota wilayah Sulaimaniyah berjumlah sekitar sejuta orang.

“Tau adalah penyakit yang teruk tetapi boleh dirawat dengan mudah. Kita boleh menyelamatkan nyawa dalam masa beberapa jam,” tambahnya.

Wabak taun kali terakhir melanda di negara itu bermula sejak 2015, kata jurucakap kementerian kesihatan Seif al-Badr kepada AFP.

Wilayah tengah Baghdad dan Babil di selatannya adalah yang paling teruk terjejas semasa wabak itu dengan ratusan orang dijangkiti.

Kes taun terakhir yang didaftarkan di wilayah Sulaimaniyah adalah pada 2012.

Taun adalah penyakit cirit-birit yang boleh dirawat dengan antibiotik dan penghidratan tetapi boleh membunuh dalam beberapa jam tanpa rawatan perubatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) penyelidik menganggarkan setiap tahun terdapat antara 1.3 juta dan empat juta kes taun di seluruh dunia yang membawa kepada antara 21,000 dan 143,000 kematian. – AFP, 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen