BEKAS gerila Gustavo Petro dipilih sebagai presiden berhaluan kiri pertama Colombia semalam selepas menewaskan ahli perniagaan jutawan Rodolfo Hernandez.
Dengan lebih 99.5% undi dikira, Petro - bekas datuk bandar Bogota yang berusia 62 tahun - mendahului lebih tiga mata dengan lebih 700,000 undian berbanding Hernandez, 77.
“Hari ini adalah perayaan untuk rakyat. Mari kita raikan kemenangan popular pertama,” tulis Petro di Twitter.
Hernandez berkata beliau menerima keputusan itu dalam siaran langsung di Facebook.
“Saya berharap Gustavo Petro tahu cara mengendalikan negara dan setia dengan kata-katanya menentang musuh,” katanya.
Petro akan menggantikan Ivan Duque yang dilarang oleh Perlembagaan Colombia daripada bertanding untuk pemilihan semula di negara yang dibelenggu kemiskinan yang meluas, lonjakan keganasan dan kesengsaraan lain.
Dalam satu lagi detik sejarah aktivis alam sekitar dan feminis Francia Marquez, 40, akan menjadi naib presiden wanita kulit hitam pertama Colombia.
Bantahan dijangka dibuat dalam kalangan 39 juta pengundi Colombia yang boleh mencetuskan keganasan selepas pilihan raya.
Bagi memastikan keselamatan terjamin kira-kira 320,000 polis dan tentera telah dikerahkan.
Misi pemerhati pilihan raya berkata salah seorang pemantau pilihan raya Petro dan seorang askar terbunuh.
Colombia tidak asing dengan keganasan politik dengan lima calon presiden dibunuh sepanjang abad ke-20.
Sebelum pusingan pertama pemilihan presiden tahun ini beberapa calon menerima ugutan bunuh. – AFP, 20 Jun, 2022.
Komen