MALAYSIA tidak mencatatkan sebarang kematian Covid-19 pada Sabtu, kali pertama sifar kematian harian dicatatkan sejak 18 Disember 2020.
“Peralihan berterusan kepada fasa endemik diukur dan dipacu data. Marilah kita berdoa ia terus membuahkan hasil,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitter.
Jumlah kematian negara kekal 35,732, mencatatkan 35,299 kematian sejak 18 Disember 2020.
Sementara itu kementerian juga melaporkan 1,690 jangkitan koronavirus baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sejak permulaan wabak itu kepada 4.54 juta.
Hanya Selangor (748 kes) dan Kuala Lumpur (287) melaporkan jangkitan dalam tiga digit.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Perak (95), Sabah (93), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (84), Johor (56), Melaka (53), Putrajaya (51), Sarawak (48), Kedah (36), Pahang (19), Kelantan (16), Terengganu (7), Perlis (3) dan Labuan (2).
Jumlah kes aktif menurun kepada 25,944 semalam apabila 2,108 pesakit pulih daripada penyakit itu.
Kira-kira 24,906 atau 96% dikuarantin di rumah, 15 (0.1%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 1,000 (3.9%) di hospital.
Seramai 23 pesakit berada dalam unit rawatan rapi di mana 15 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 20 Jun, 2022.
Komen