PIHAK berkuasa Palestin semalam menggesa Israel menyerahkan pistol yang didakwa melepaskan tembakan yang membunuh wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh.
Abu Akleh ditembak dan dibunuh pada 11 Mei ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin di Tebing Barat.
Penyiasat Palestin berkata seorang askar Israel menembak mati wartawan veteran Palestin-Amerika.
Israel telah meminta pihak berkuasa Palestin memberikan peluru yang diekstrak dari badanya supaya mereka boleh menjalankan siasatannya sendiri. Israel menawarkan untuk berbuat demikian dengan kehadiran wakil Palestin dan Amerika.
“Kami enggan menyerahkan peluru kepada mereka malah kami menuntut mereka menyerahkan senjata yang membunuh Shireen Abu Akleh,” kata Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh pada satu majlis di bandar Ramallah Tebing Barat semalam sempena 40 hari kematian wartawan berkenaan.
Tentera Israel berkata belum ada kesimpulan sama ada Abu Akleh yang memakai jaket kalis peluru bertanda “Press” ketika beliau ditembak oleh salah seorang tenteranya atau tembakan sesat Palestin.
Tentera menegaskan tiada askar israel menembak Abu Akleh kerana mengetahui beliau seorang wartawan.
Pegawai siasatan Palestin membuat kesimpulan Abu Akleh dibunuh menggunakan Ruger Mini-14, senjata separa automatik.
Tentera Israel berkata siasatan terhadap pembunuhan wartawan itu tertumpu kepada seorang askar yang melepaskan tembakan berhampiran kawasan di mana Abu Akleh terbunuh.
Abang kepada Abu Akleh, Anton memberitahu masjid Ramallah - di mana gambar wartawan dipaparkan - bahawa keluarga itu “hanya mencari keadilan untuk Shireen”.
Tentera Israel berkata mereka masih belum membuat kesimpulan sama ada salah seorang askarnya akan berdepan tuduhan jenayah atas pembunuhan Abu Akleh. – 20 Jun, 2022.
Komen