LEBIH 10,000 pelarian Rohingya di Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan hari ini bagi menuntut penghantaran pulang ke Myanmar, selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam lima tahun lalu.
Hampir sejuta Rohingya terkurung di pondok buluh dan kanvas di 34 kem pelarian di tenggara Bangladesh, tanpa kerja, mudah terdedah kepada wabak dan akses kepada pendidikan yang rendah.
Penguatkuasaan undang-undang di Bangladesh semakin ketat apabila melarang pelarian daripada mengadakan perhimpunan sejak mereka mengadakan protes besar-besaran membabitkan 100,000 orang pada Ogos 2019.
Bagaimanapun, pihak berkuasa membenarkan beberapa kumpulan Rohingya mengadakan perarakan dan perhimpunan serentak “Go Home” menjelang Hari Pelarian Sedunia esok.
“Kami tidak mahu tinggal di kem. Menjadi pelarian bukan mudah. Jahanam. Cukuplah. Mari pulang,” kata ketua masyarakat Rohingya Sayed Ullah dalam ucapan pada satu perhimpunan.
Pada 2018, penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke atas pembunuhan dan penghijrahan beramai-ramai masyarakat Islam Rohingya di Myanmar membuat kesimpulan siasatan jenayah dan pendakwaan adalah wajar ke atas jeneral tertinggi Myanmar atas jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai.
Demonstrasi hari ini tercetus selepas setiausaha asing Bangladesh dan Myanmar minggu lalu mengadakan pertemuan – yang pertama dalam hampir tiga tahun – melalui sidang video.
Seorang pegawai kementerian luar Bangladesh memberitahu AFP semasa pertemuan itu Dhaka mendesak Naypyidaw supaya melakukan penghantaran pulang pelarian Rohingya bermula tahun ini.
“Kami berharap penghantaran pulang akan bermula selepas musim tengkujuh tahun ini sekurang-kurangnya dalam skala terhad,” katanya yang enggan dikenali.
Polis berkata, ribuan pelarian, termasuk kanak-kanak kecil, menyertai perarakan dan perhimpunan, berdiri di atas jalan raya dan lorong-lorong dengan sepanduk bertulis “Enough is Enough! Let’s Go Home”. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen