India laksana teknologi 5G mulai Ogos, kata menteri


Menteri Telekomunikasi India Ashwini Vaishnaw berkata mereka akan memulakan usaha pelaksanaan teknologi 5G dari Ogos hingga September. – Gambar EPA, 19 Jun, 2022.

MENTERI Telekomunikasi India Ashwini Vaishnaw memaklumkan usaha pelaksanaan teknologi 5G di negaranya akan bermula dari Ogos hingga September tahun ini.

“Pada 2022, kami akan memulakan usaha pelaksanaan teknologi 5G dari Ogos hingga September.

Tetapi apa yang lebih penting adalah penyusunan teknologi 4G dan 5G yang lengkap dibangunkan di negara ini dan diuji untuk keperluan satu bilion panggilan secara serentak,” lapor Xinhua memetik Vaishnaw sebagai berkata.

Menteri itu bercakap pada sidang kemuncak anjuran saluran berita televisyen tempatan pada Sabtu.

“Menjelang akhir tahun ini, perkhidmatan itu akan dilancarkan sekurang-kurangnya di 20 hingga 25 bandar dan pekan.

“India mengenakan harga data semasa yang jauh lebih rendah daripada pasaran global, serta akan terus menetapkan tanda aras rendah bagi kadar bayaran baharu apabila perkhidmatan itu dilancarkan.

“Secara purata, kadar data secara global berharga US$25 dalam sektor telekomunikasi.

“Di India, kadarnya sekitar US$2. Kami mengenakan bayaran terendah di dunia, sekurang-kurangnya dengan faktor 10X ( 10 kali ganda lebih murah daripada dunia), trend yang sama akan berlaku di sektor lain juga,” katanya.

Menurut menteri telekomunikasi itu, India akan bekerjasama dengan pemain global dalam pelaksanaan teknologi 5G dan menyasarkan untuk menjadi peneraju dunia dalam pembangunan 6G. – Bernama, 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen