PARTI pemerintah Nigeria All Progressives Congress (APC) memenangi pemilihan utama gabenor di Ekiti, kata Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu hari ini.
Ekiti yang terletak di barat daya Nigeria, adalah antara lapan daripada 36 negeri di mana pemilihan gabenor tidak diadakan pada masa yang sama kerana cabaran undang-undang terhadap keputusan sebelumnya.
Ia juga dianggap sebagai kayu ukur dan kunci untuk memenangi pilihan raya presiden tahun depan di negara Afrika Barat yang mempunyai berbilang etnik dengan kira-kira 200 juta penduduk itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Kebangsaan (INEC) berkata calon APC memenangi undi terbanyak daripada 988,923 pengundi berdaftar.
“Biodun Abayomi Oyebanji dari APC, memenuhi keperluan, dengan ini diisytiharkan sebagai pemenang,” kata pegawai INEC Kayode Oyebode Adebowale pada sidang media.
Oyebanji menang dengan 187,057 undi, sebahagian besarnya mendahului dua lawan utamanya Segun Oni dari Parti Demokratik Sosial (SDP) yang menduduki tempat kedua dengan 82,211 undi dan Otunba Bisi Kolawole dari Parti Demokratik Rakyat (PDP) yang mendapat 67,457 undi.
Presiden Muhammadu Buhari mengucapkan tahniah kepada Oyebanji atas kemenangannya itu.
“APC semakin kukuh dan bersatu. Kemenangan parti kami di Ekiti adalah petunjuk keyakinan warga Nigeria terhadap keupayaan parti besar kami untuk menyampaikan tadbir urus berkualiti kepada semua,” kata presiden dalam satu kenyataan.
Dalam laporan awal mengenai pilihan raya, pemerhati berkata undian itu sebahagian besarnya aman dan tanpa insiden besar.
Pembelian undi bagaimanapun dilaporkan di beberapa pusat mengundi, kata mereka.
Di satu lokasi, “ejen parti daripada APC dilaporkan berkongsi N7,000 ($15) kepada pengundi yang menunjukkan cara kertas undi mereka ditanda,” kata kumpulan masyarakat sivil Yiaga Africa dalam satu kenyataan. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen