Tentera Sri Lanka lepas tembakan untuk surai protes


Sri Lanka mengalamai masalah besar kekurangan bekalan minyak, makanan dan ubat-ubatan yang mencetuskan protes di seluruh negara itu. – Gambar AFP, 19 Jun, 2022.

TENTERA Sri Lanka melepaskan tembakan untuk mengawal rusuhan di sebuah stesyen minyak, kata pegawai hari ini ketika barisan panjang untuk membeli petrol dan diesel masih dapat dilihat di seluruh negara yang muflis itu.

Tentera melepaskan tembakan di Visuvamadu, terletak 365 kilometer di utara Colombo, pada malam Sabtu ketika tentera bertugas dilempar batu, kata jurucakap tentera Nilantha Premaratne.

“Sekumpulan 20 hingga 30 orang melemparkan batu dan merosakkan trak tentera,” kata Premaratne kepada AFP.

Polis berkata empat orang awam dan tiga tentera cedera apabila tembakan dilepaskan buat kali pertama untuk menyuraikan kekecohan dikaitkan dengan krisis ekonomi yang makin teruk.

Disebabkan stesyen minyak mula kehabiskan bekalan, pemandu mula melakukan bantahan dan situasi berubah menjadi pertempuran dengan tentera, kata polis.

Sri Lanka sedang berdepan krisis ekonomi paling buruk sejak kemerdekaan negara itu, kerajaan tidak mampu mendapatkan wang untuk mengimport barangan penting termasuk makanan, minyak dan ubat-ubatan.

Negara dengan penduduk seramai 22 juta orang itu sejak berbulan lepas mengalami masalah bekalan tetapi Presiden Gotabaya Rajapaksa masih tidak mahu berundur walaupun menerima desakan atas kegagalan pentadbirannya.

Sri Lanka sudah mengerahkan tentera dan polis untuk mengawal stesyen minyak.

Seorang pemandu motosikal ditembak mati pada April di Rambukkana apabila pertempuran tercetus disebabkan catuan petrol dan diesel.

Polis mengesahkan kekecohan tercetus di tiga lokasi minggu lepas. Sekurang-kurangnya enam anggota polis cedera dan tujuh orang awam ditaha.

Kerajaan mengumumkan penutupan institusi awam dan sekolah selama dua minggu bagi mengurangkan pergerakan dan memantau bekalan minyak dalam negara itu.

Ia turut berdepan masalah lonjakan inflasi dan gangguan bekalan tenaga, kesemuanya memburukkan lagi situasi.

Empat daripada lima orang di Sri Lanka sudah mula mengurangkan pengambilan makanan kerana masalah kemampuan, kata PBB, memberi amaran yang risiko tercetusnya krisis kemanusiaan di negara itu.

Sri Lanka gagal membayar AS$51 bilion hutang luar pada April dan sedang mengadakan perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelesaikan masalah itu. – AFP, 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen