PERANG di Ukraine boleh berlanjutan selama bertahun-tahun, kata ketua Nato Jens Stoltenberg memberi amaran dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Ahad oleh akhbar harian Jerman Bild, sambil mengulangi gesaan agar negara Barat memberikan sokongan jangka panjang kepada Kyiv.
“Kita mesti bersedia untuk ia bertahan selama bertahun-tahun,” kata setiausaha agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara itu.
“Kita tidak boleh melemahkan sokongan kita terhadap Ukraine, walaupun kosnya tinggi—bukan sahaja dari segi sokongan ketenteraan tetapi juga kerana kenaikan harga tenaga dan makanan.”
Beliau memberitahu Bild yang kos makanan dan bahan api tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi setiap hari oleh warga Ukraine di barisan hadapan, memberi amaran “kita perlu membayar harga lebih tinggi” jika Presiden Rusia Vladimir Putin ingin mencapai matlamat Moscow di Ukraine.
Ketua Nato pada minggu lalu meningkatkan gesaan agar anggota perikatan menyokong Ukraine dalam perjuangannya menentang pencerobohan Rusia.
Mengulangi gesaannya agar negara anggota Nato terus menghantar senjata ke Kyiv, Stoltenberg berkata sokongan perkakasan itu boleh meningkatkan “kemungkinan Ukraine dapat menolak tentera Putin keluar dari wilayah Donbas”.
Wilayah Donbas paling timur di Ukraine kini sebahagiannya di bawah kawalan tentera Rusia.
Menteri Pertahanan Ukraine Oleksiy Reznikov dan pegawai lain minggu ini bertemu dengan kira-kira 50 negara Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine di ibu pejabat Nato untuk meminta tambahan senjata dan peluru. – AFP, 19 Jun, 2022.
Komen