Mustahil saya, Azmin keluar Bersatu, kata Rashid 


Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon menafikan dakwaan keluar Bersatu dan menyifatkan ia sebagai cubaan untuk melemahkan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2022.

AHLI Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon menafikan dakwaan akan meninggalkan Bersatu.

Mohd Rashid dalam dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan dirinya dan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan keluar daripada Bersatu sebagai mustahil dan usaha untuk melemahkan parti.

Jelas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, beliau yakin dengan masa depan Bersatu dan akan terus menyokong parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu. Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Rashid dan Mohamed Azmin terpalit dengan dakwaan akan meninggalkan Bersatu selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lepas dan kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Azmin turut dilaporkan berkata akan kekal bersama parti itu kerana idealisme dan perjuangan Bersatu adalah jati dirinya. – Bernama, 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen