Di celah kota, Melayu bandar bergelut teruskan hidup


Nabihah Hamid

Kebanyakan penduduk Lembah Keramat yang mempunyai majoriti Melayu lebih memberi tumpuan mengenai kos sara hidup berbanding perkembangan politik negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mei, 2017.

Mereka tidak ada masa untuk berpolitik atau ahli politik. Khabar mengenai Malaysia yang hanya tinggal 18% ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi adalah khabar dari dunia lain. Mereka tinggal di pinggir bandar yang majoritinya Melayu, berhampiran bandaraya yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan lebuh raya terbaik di negara ini tetapi matlamat harian mereka lebih kepada mencari sesuap nasi dan bergelut meneruskan kehidupan.

BAGI mendalami kehidupan sebenar rakyat Malaysia, hanya memerlukan tempoh yang singkat jika memandu dari bangunan 88 tingkat Menara Berkembar Petronas ke Lembah Keramat yang dihuni majoriti kaum Melayu, terletak di pinggir bandar raya Kuala Lumpur.

Di sini, tiada impian menggapai langit dan penduduknya tidak berpegang kepada kata-kata atau janji parti politik.

Malah, kebanyakan yang ditemuramah The Malaysian Insight memilih untuk tidak memberi tumpuan kepada politik. 

Sungguh ironi, memandangkan landskap hari ini penuh dengan parti politik dan kumpulan yang mewakili orang Melayu berbanding sebelum ini dan paparan berita di media mengenai pilihan raya yang akan berlaku.

Bagaimanapun, Mohd Bahanordin, 51, mengetahui mengenai Umno, PAS, Amanah dan PKR serta lain-lainnya. Tetapi tidak peduli dengan apa yang mereka katakan. 

Menjaja minuman di sekitar jalan kawasan Lembah Keramat, menyatakan persaingan memaksanya bekerja lebih masa.

“Sebagai peniaga kecil-kecilan begini, saya hanya berusaha mencari rezeki. Saya malas hendak ikut sangat (politik). Saya fikir jangan tertindas sudahlah, kita sudah terhimpit dengan kewangan, jangan sampai terbeban sangat. 

Penjaja air Mohd Bahanordin, terus cekal demi mencari rezeki untuk keluarga. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mei, 2017.

“Sekarang apa yang menjadi masalah, (zakat) hendak dicabul juga. Hal politik saya kurang ambil tahu. Kami tidak kisah siapa yang memerintah asalkan ikut jalan yang betul.

“Saya dahulu bekerja berpuluh tahun, gaji tidak sampai RM3,000. Tidak naik berpuluh tahun walaupun selepas berkahwin dan ada dua anak untuk ditanggung,” kata bekas pengurusan syarikat rakaman itu kepada The Malaysian Insight.  

Bagi Osman Ismail, 63, meskipun sudah menjadi warga emas, dia masih bekerja untuk mencari sumber pendapatan. 

“Hidup ini kena rajin. Saya buat semua kerja. Kita perlu ada duit dalam tangan dan jangan berhutang. 

“Saya tidaklah kaya, tidaklah miskin. Saya memang suka harta dan kereta tetapi tak suka berhutang. Kalau hendak satu benda, mesti beli tunai,” kata bapa tiga anak yang mempunyai sebuah kedai runcit berhadapan flat PKNS Keramat.

Peningkatan kos sara hidup 

Seorang lagi penduduk yang sekian lama bermastautin di Keramat, Aminah, 53, berkata peningkatan kos sara hidup amat membimbangkan.

Ibu tunggal empat anak itu sudah menyewa flat di sana selama lebih 20 tahun tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci rumah ke rumah. Saya masih menyewa. Sudah lama duduk di sini. Dulu saya bekerja di pasaraya tapi sekarang sudah tidak larat. 

“Mujurlah ada Kancil buruk ini untuk memudahkan saya bergerak. Apa lagi yang boleh dibuat? Kalau nak beli kereta baru perlu buat pinjaman tetapi tak lulus pula,” katanya yang bersama anak kecilnya berusia 10 tahun. 

Aminah bagaimanapun tidak sempat berbual panjang kerana kesuntukan masa untuk membersihkan rumah pelanggannya. 

Roslinda Ibrahim enggan mengambil peduli mengenai perkembangan politik negara dan hanya memberi tumpuan kepada kelangsungan hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Mei, 2017.

Lebih dua dekad berhijrah dari Kelantan ke Kuala Lumpur, Roslinda Ibrahim, 53, pengusaha kedai makanan amat terkesan dengan hasil pendapatan merundum. 

“Saya tinggal di sini sudah lebih 20 tahun, mengundi di sini hampir 10 tahun tetapi tiada masa ambil tahu dengan hal politik. Kita meniaga hanya fikir mencari rezeki,” kata ibu anak tujuh yang berharap kerajaan mampu menangani isu peningkatan kos sara hidup. 

Indeks harga pengguna (IHP) meningkat 5.1% pada Mac, paling tinggi dalam tempoh lapan tahun kerana asas yang rendah pada tahun lepas dan harga runcit bahan api lebih tinggi berbanding Mac 2016.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan ialah indeks pengangkutan (+23%), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.1%), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3%), kesihatan (+2.6%), restoran dan hotel (+2.3%) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1%).

Sementara itu Nawari Kudsin, 56, bersama anaknya mengendalikan gerai nasi ayam sejak hampir 25 tahun di Lembah Keramat mengakui agak sukar mendapatkan pendapatan lumayan seperti dahulu. 

“Dahulu, dalam sehari lebih 30 ekor ayam boleh terjual tetapi sekarang hanya dalam 10 ekor,” katanya.

“Kuasa beli rakyat sekarang semakin kurang sebab ekonomi,” kata peniaga berusia 56 tahun itu.

Dia berhenti seketika melihat ke arah Menara Berkembar Petronas dari jauh sekali lagi. Seperti biasa ia nampak bergemerlapan dengan cahaya lampu setiap malam.

Dan malam ini tiada beza baginya apabila terus menunggu pelanggan terakhir sebelum pulang ke rumah dan berehat sebelum mengulang rutin hariannya sekali lagi esok. – 28 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen