Pindaan Akta 333 APJ akan dibentang tidak lama lagi, kata menteri


Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan dipinda bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

JEMAAH Menteri meluluskan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang, selepas kali terakhir akta itu dipinda pada 2020.

“Pindaan sebelum ini menjurus kepada usaha mengekang penggunaan jalan raya yang tidak selamat dengan memandu secara merbahaya, melulu, tidak cermat dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sama ada menyebabkan kematian, kecederaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pindaan terbaharu itu pula bertujuan membawa lebih banyak manfaat kepada pemandu (pemilik kenderaan) di samping meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya iaitu berkaitan proses pertukaran pemilikan kenderaan motor secara interim (sementara), daripada pemilik asal kenderaan kepada syarikat jual/beli kenderaan terpakai (Used Car Dealer-UCD).

Katanya, ia untuk melindungi kepentingan pemilik apabila mereka menjual kenderaan mereka kepada UCD, dengan memastikan pemindahan pemilikan dilakukan dengan sempurna.

Ia juga bagi membolehkan UCD memiliki pemilikan kenderaan buat sementara waktu sambil mencari pembeli baharu dan memastikan hak pengguna dilindungi.

“Pada masa ini, pertukaran hak milik kenderaan bersifat kekal seperti ditetapkan di bawah Seksyen 13 Akta 333.

“Bagaimanapun secara pentadbiran sejak 2011, proses pelaksanaan pertukaran hak milik kenderaan motor yang dijual kepada UCD oleh pemilik asalnya dilaksanakan secara interim iaitu tidak bersifat kekal,” katanya.

Menurut Wee, ia hanya akan dipindahkan secara kekal ke UCD selepas masa tertentu jika kenderaan itu tidak dijual kepada pembeli baharu oleh UCD.

Pindaan itu juga membabitkan peruntukan baharu yang membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan peralatan sistem High Speed-Weigh In Motion (HSWIM).

Menurut Wee, peralatan itu membolehkan proses merekod berat kenderaan dengan cekap dan tepat serta aktiviti penguatkuasaan boleh dilakukan secara automatik tanpa kehadiran pegawai JPJ di lokasi.

“HSWIM adalah gabungan peralatan berasaskan sensor, kamera dan sistem algoritma komputer yang mencerap kehadiran, identiti, berat kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pindaan terbaharu itu juga akan menyaksikan pindaan had umur pemegang Lesen Vokasional untuk penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing kepada tidak kurang daripada 18 tahun, berbanding 21 tahun ketika ini.

Katanya, ini bagi membolehkan lebih ramai mempunyai pilihan untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui perniagaan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

Selain itu, pindaan turut menyentuh perihal pemandu bas persiaran atau bas pelancongan yang bakal mewajibkan mereka untuk mempunyai Lesen Vokasional yang sah bertujuan untuk menyeragamkan keperluan semasa pada masa ini kepada pemandu bas ekpres, bas sekolah dan bas henti-henti.

“Ini akan memastikan semua pemandu dilindungi dengan pengetahuan dan kecekapan semasa untuk menyediakan perkhidmatan selamat serta bertanggungjawab kepada penumpang mereka,” katanya. – Bernama, 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen