KitaJaga kini bantu orang ramai cari kerja dengan ciri baharu


Ravin Palanisamy

Bekalan makanan yang banyak amat diperlukan untuk membantu mereka yang masih mengibarkan bendera putih susulan pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2022.

KITAJAGA, aplikasi mudah alih sosial digital yang menjadi talian hayat bagi rakyat Malaysia semasa kemuncak pandemik Covid-19 apabila memberikan bantuan terutama dari segi makanan, kini memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan orang ramai mencari pekerjaan.

Reza Razali, pengasas Terato Tech, pembangun aplikasi KitaJaga berkata, mereka melancarkan ciri itu pada Mac tahun ini dan mendakwa mendapat sambutan yang baik daripada majikan.

Ketika ekonomi kembali pulih selepas pandemik, Reza berkata langkah memulakan ciri baharu itu dibuat selepas mendapat permintaan pengguna, yang mahukan penyelesaian kekal dan bukan sekadar penyelesaian pantas kepada krisis dialami mereka.

“Pekerjaan adalah satu perkara yang diminta orang ramai.

“Ketika kita semakin menghampiri endemik, orang ramai mahukan sesuatu yang lebih mampan.

“Jadi, pengguna kami mencadangkan kami membantu orang ramai mencari pekerjaan berdekatan dan bukannya hanya mendapatkan bantuan,” kata Reza kepada The Malaysian Insight.

Selepas melancarkan ciri itu, Reza berkata ketika kemuncaknya, mereka mempunyai kira-kira lebih 100 pekerjaan disiarkan setiap hari di platform.

Beliau berkata, kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan adalah sektor runcit, makanan dan minuman, terutamanya di kawasan bandar.

Reza bagaimanapun berkata, pasukannya masih belum mengumpul kadar pengambilan kerja, kerana ciri itu baru dilancarkan tiga bulan lalu.

“Kebanyakan pekerjaan ditawarkan di kawasan bandar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

“Ketika ini kami tidak memantau angka itu kerana ia ciri yang baru kami perkenalkan,” katanya.

Walaupun ciri baharu itu diperkenalkan, Reza berkata mereka masih meneruskan tujuan asalnya - membantu mereka yang amat memerlukan yang mengibarkan bendera putih, mencari bekalan makanan di kawasan sekitar atau membenarkan orang ramai menyumbang untuk menjadi penderma.

Pengasas aplikasi itu berkata, kira-kira 30 permintaan masih diterima secara digital setiap hari di platform sehingga kini.

Beliau berkata, kebanyakan permintaan hari ini adalah dari luar Lembah Klang - jumlah yang berbeza dalam permintaan geografi semasa kemuncak pandemik.

“Sukarelawan dan kumpulan masyarakat sivil yang bekerjasama dengan kami masih keluar untuk memberi bantuan kepada orang ramai yang mengibarkan bendera putih di tempat mereka, sehingga hari ini.

“Sekarang, kami mempunyai purata kira-kira 20 hingga 30 permintaan setiap hari.

“Semasa kemuncak pandemik, ia kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang tetapi sekarang ia semakin kurang di sana dan kebanyakannya beralih ke luar bandar,” katanya.

Antara kempen yang terdapat di laman sesawang KitaJaga termasuk mencari pekerjaan dan membantu mangsa banjir. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Jun, 2022.

Aplikasi akan terus memenuhi tujuannya

Reza berkata, pada awalnya mereka hanya merancang untuk mengendalikan platform KitaJaga, yang dilancarkan pada Julai tahun lalu selama tiga bulan.

Bagaimanapun, Reza berkata, susulan permintaan dan kejadian yang tidak dapat diramalkan di negara ini, beliau dan pasukan memutuskan untuk terus mengendalikan platform itu, menambah ciri baharu dari semasa ke semasa.

“Pada mulanya kami berhasrat untuk menutup aplikasi pada Oktober (2021) tetapi kemudian berlaku bencana banjir.

“Ia terbukti membantu semasa banjir selain lebih ramai yang meminta bantuan di laman itu.

“Jadi, sebagai penjaga laman sesawang, kami memutuskan untuk meneruskannya,” katanya.

Reza berkata, ia tidak memerlukan kos tinggi untuk penyelenggaraan laman itu dan mereka mampu melakukannya dengan dana sedia ada.

“Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya. Jadi, kami hanya memutuskan untuk mengekalkan laman itu.

“Penyelenggaraan tidak membebankan tetapi jika laman itu diperlukan, ia masih berfungsi dan orang ramai masih boleh menggunakannya,” katanya.

Reza berkata, mereka mempunyai dana mencukupi untuk mengekalkan laman itu.

Tahun lalu, KitaJaga melancarkan kempen pengumpulan dana amal di GlobalSadaqah, platform pengurusan CSR, zakat dan Wakaf Malaysia.

Menurut laman sesawang rasmi KitaJaga, sejak dimulakan, mereka mengumpul lebih RM100,000 untuk menyokong platform itu.

Reza berkata hingga kini, lebih 20,000 muat turun direkodkan pada kedua-dua iOS dan Android.

Beliau berkata, laman sesawang itu menerima lebih 5 juta kunjungan unik sejak ia dimulakan. – 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen