LEE Lam Thye berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk mereka cerita berkenaan keluar daripada DAP selepas bekas setiausaha agung DAP Lim Kit Siang menggelarnya sebagai penipu.
Bekas ahli Parlimen DAP Bukit Bintang itu berkata beliau tidak boleh dipersalahkan jika “sesetengah orang mempunyai ingatan terpilih”.
“Saya berkata saya keluar parti kerana saya diberitahu oleh Lim bahawa saya tidak akan bertanding untuk pilihan raya Parlimen 1990 di kawasan Bukit Bintang yang mana saya menjadi ahli Parlimen selama empat penggal,” kata Lee seperti dipetik dalam kenyataan portal berita Star online.
Lee berkata beliau tidak akan bersara jika dibenarkan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang.
“Ini adalah kebenaran. Tidak ada gunanya membicarakan perkara ini atau memanjangkan isu ini. Ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun. Ia sudah jadi catatan sejarah,” katanya dipetik sebagai berkata.
Lee juga berkata beliau tidak akan melayan sebarang komen lanjut mengenai perkara itu.
Awal hari ini Kit Siang menuduh Lee berbohong dalam biografinya di mana pengarang mendakwa beliau sudah berhenti dari politik pada malam pilihan raya umum 1990 kerana dikhianti oleh rakan partinya.
“Beliau menyalahkan saya (yang merupakan) setiausaha agung DAP pada 1990 dan beberapa rakan parti kerana menikamnya dari belakang dan (ini telah) menyebabkan beliau meletak jawatan pada 29 September 1990.
“Lee berkata beliau dimaklumkan oleh kepimpinan parti bahawa beliau tidak akan bertanding di Bukit Bintang selepas berkhidmat selama empat penggal, tetapi di tempat lain.
“Ini satu pembohongan besar kerana saya tidak pernah beritahu Lee yang beliau tidak akan bertanding di kawasan Bukit Bintang, dan saya tidak pernah terfikir akan meletakkan beliau di kawasan lain sebelum pilihan raya umum 1990,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu seterusnya berkata walaupun mempunyai gaya politik berbeza namun beliau sentiasa menganggap perbezaan antara mereka sebenarnya saling melengkapi satu sama lain.
“Saya bertemu dan berbincang dengannya pada 19 September, dan ketika itu beliau beritahu saya beliau tidak berhasrat untuk menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, serta akan umum untuk bersara dari politik.
“Sepuluh hari kemudian adalah hari yang menyakitkan bagi kami. Saya bertemu Lee empat kali untuk memujuknya supaya ubah fikiran, bukan sahaja untuk sambung semula jawatan pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, tetapi juga untuk meneruskan khidmatnya dalam politik,” jelas Lim.
Lim berkata sehingga hari ini beliau tidak tahu mengapa Lee memutuskan untuk berhenti daripada politik. – 18 Jun, 2022.
Komen