Jet pejuang Iran terhempas, dua anak kapal cedera


Anggota bomba dan pekerja penyelamat memadamkan kebakaran apabila sebuah jet pejuang F-5 Iran terhempas di sekolah di Tabriz, Iran. – Gambar fail EPA, 18 Jun, 2022.

SEBUAH jet pejuang F-14 terhempas pada Sabtu ketika dalam misi di tengah Iran, menyebabkan dua anak kapal mengalami kecederaan, lapor media di republik Islam itu.

“Jet pejuang itu mengalami masalah teknikal… dan juruterbang serta pembantu juruterbang mendarat dengan payung terjun,” kata Rassoul Motamedi, jurucakap tentera di wilayah Isfahan, tempat nahas itu berlaku.

“Juruterbang dan pembantu juruterbang cedera… dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dipetik agensi berita Tasnim, sambil menambah pesawat itu musnah.

Ia kejadian kedua seumpamanya di wilayah Isfahan dalam tempoh kurang sebulan, selepas dua anak kapal tentera udara terbunuh apabila pesawat latihan F-7 mereka terhempas.

Tentera udara di Iran yang berdepan sekatan mengalami beberapa kemalangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pegawai mengadu kesukaran mendapatkan alat ganti untuk mengekalkan armadanya yang semakin tua di udara.

Pada Februari, sebuah jet F-5 Iran terhempas di kawasan perumahan bandar barat laut Tabriz, mengorbankan tiga orang termasuk dua anak kapal.

Iran kebanyakannya mempunyai jet pejuang MiG dan Sukhoi Russia yang berasal dari era Soviet, serta beberapa pesawat China, termasuk F-7, jet Mirage Perancis dan pesawat pejuang F-4 dan F-5 Amerika.

Republik Islam itu mempunyai 80 F-14 Tomcats, pesawat perang yang berkhidmat dalam Tentera Laut AS dari 1972 hingga 2006, apabila ia ditarik balik.

Tehran terus menggunakannya kerana sekatan Amerika terhadap Iran selepas revolusi Islam 1979 menghalangnya daripada membeli lebih banyak jet moden Barat. – AFP, 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen