Pelancong tunggu lama masuk ke Malaysia menerusi Linkedua, kata persatuan


Pelancong kembali memeriahkan industri pelancongan di negara ini selepas sempadan negara dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

MAJLIS Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) mendakwa pelancong yang menaiki bas pelancongan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Johor Bahru terpaksa menunggu berjam-jam di pintu sempadan sebelum dapat memasuki Malaysia.

Presidennya Jimmy Leong berkata keadaan itu amat membimbangkan dan tidak boleh diterima dan ia boleh menjejaskan industri pelancongan.

“Pelancong yang datang dengan bas pelancongan menerusi Linkedua pada jam 8.30 pagi (hari ini) masih menunggu dalam barisan sehingga jam 12.30 tengah hari. Empat jam lamanya.

“Kakitangan Rela memberi keutamaan kepada bas awam tempatan dan ini (keadaan ini) menyebabkan bas pelancong bergerak dengan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau berharap kerajaan Johor menyedari keadaan itu dan akan memberi perhatian serius dalam urusan di pintu masuk negara dan mencari jalan penyelesaian.

“Sekarang sempadan sudah dibuka semula, industri seharusnya meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan pelawat,” katanya. – Bernama, 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen