41 maut, berjuta-juta terkandas dalam banjir di Bangladesh, India


Jutaan penduduk terjejas akibat banjir di India dan Bangladesh. – Gambar EPA, 18 Jun, 2022.  

RIBUT monsun di Bangladesh dan India mengorbankan sekurang-kurangnya 41 penduduk dan banjir besar menyebabkan berjuta-juta penduduk yang lain terkandas, kata pegawai semalam.

Hujan lebat tanpa henti sepanjang minggu lalu membanjiri kawasan luas di timur laut Bangladesh dengan tentera dikerahkan untuk memindahkan isi rumah yang terputus dari komuniti jiran.

Sekolah dijadikan pusat perlindungan untuk menempatkan penduduk selepas kampung mereka ditenggelami air sungai.

Antara yang maut ialah tiga kanak-kanak berusia 12 dan 14 tahun yang disambar petir pada Jumaat di bandar pedalaman Nandail, kata ketua polis tempatan Mizanur Rahman.

Empat lagi yang maut apabila tanah runtuh melanda rumah mereka di lereng bukit di bandar pelabuhan Chittagong, kata inspektor polis Nurul Islam kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh sejak Khamis di Meghalaya yang terpencil di India, kata ketua menteri negeri Conrad Sangma di Twitter selepas tanah runtuh dan sungai menenggelamkan jalan raya.

Di Assam lebih 1.8 juta penduduk terjejas akibat banjir selepas lima hari hujan lebat tanpa henti.

Ketua menteri Assam Himanta Biswa Sarma memberitahu pemberita beliau sudah mengarahkan pegawai daerah memberikan semua bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir. – Bernama, 18 Jun, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen