3 lagi pasar tani kekal dibina, kata Fama


Ketua Pengarah Fama Zainal Abidin Yang Razalli berkata pembinaan PTK itu bermula Ogos ini menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

TIGA lagi Pasar Tani Kekal (PTK) akan dibina masing-masing di Cameron Highlands, Putrajaya dan Kuala Lipis, Pahang tahun ini membabitkan kos kira-kira RM12 juta.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Zainal Abidin Yang Razalli berkata pembinaan PTK itu bermula Ogos ini menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Sebelum sesuatu PTK itu dibina, kita akan membuat kajian terperinci yang dilakukan pihak ketiga bagi memastikan projek dilaksanakan itu benar-benar berpotensi dan memberi faedah kepada penduduk sekitar.

“Program ini akan diteruskan sehingga akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi peruntukan yang diberi,” katanya selepas melawat Projek PTK Kuala Kangsar dan Pusat Pemasaran Agromakanan Fama Manong dekat Kuala Kangsar, Perak hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid dan pengerusi jawatankuasa perladangan, pertanian dan industri makanan negeri Razman Zakaria.

Menurut Zainal Abidin, sehingga kini terdapat 40 PTK manakala lima lagi sedang dalam pembinaan termasuk PTK Kuala Kangsar yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2023 selain di Kampung Gajah, Perak, Felda Palong, Negeri Sembilan, Kuala Krai, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Katanya, Fama menyasarkan nilai jualan kira-kira RM200 juta daripada PTK seluruh negara tahun ini dengan jumlah kutipan yang diperoleh setakat Mei sebanyak RM85 juta membabitkan 2,000 peniaga. – Bernama, 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen