Lee Lam Thye berbohong, kata Kit Siang


Veteran DAP Lim Kit Siang berkata selepas 23 tahun beliau masih tidak tahu punca sebenar Lee Lamthye bersara dari politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

LEE Lam Thye berbohong dalam buku biografinya mengapa beliau bersara dari politik menjelang pilihan raya umum 1990, kata Lim Kit Siang.

Lim, yang ketika itu setiausaha agung DAP, berkata selepas 23 tahun beliau masih tidak tahu punca sebenar persaraan Lee. 

“Beliau menyalahkan saya sebagai setiausaha agung DAP pada 1990 dan beberapa rakan parti kerana menikamnya dari belakang lalu umum persaraannya dari politik pada 29 September 1990.

“Lee berkata beliau dimaklumkan oleh kepimpinan parti bahawa beliau tidak akan bertanding di Bukit Bintang selepas berkhidmat selama empat penggal, tetapi di tempat lain.

“Ini satu pembohongan besar kerana saya tidak pernah beritahu Lee yang beliau tidak akan bertanding di kawasan Bukit Bintang, dan saya tidak pernah terfikir akan meletakkan beliau di kawasan lain sebelum pilihan raya umum 1990,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu seterusnya berkata walaupun mempunyai gaya politik berbeza namun beliau sentiasa menganggap perbezaan antara mereka sebenarnya saling melengkapi  satu sama lain.

“Saya bertemu dan berbincang dengannya pada 19 September, dan ketika itu beliau beritahu saya beliau tidak berhasrat untuk menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, serta akan umum untuk bersara dari politik.

“Sepuluh hari kemudian adalah hari yang menyakitkan bagi kami. Saya bertemu Lee empat kali untuk memujuknya supaya ubah fikiran, bukan sahaja untuk sambung semula jawatan pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, tetapi juga untuk meneruskan khidmatnya dalam politik,” jelas Lim.

Lee umum bersara dari politik tidak sampai sebulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada 21 Oktober 1990. – 18 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen