Ahli Parlimen Jelutong dibenar keluar hospital  


Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada pagi Jumaat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer dibenarkan keluar dari hospital dan kini berehat di rumah.

“Ya, saya sudah pulang ke rumah sekarang,” kata peguam itu dalam mesej WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

“Pihak hospital telah memberi saya cuti sakit selama lima hari,” kata ahli Parlimen Pulau Pinang itu.

Rayer yang juga merupakan bekas Adun Seri Delima terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada pagi Jumaat.

Menurut laporan, ahli politik DAP itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menyertai Lawyers Walk for Judicial Indipendence ketika kemalangan itu berlaku.

Rayer kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin, dalam satu kenyataan semalam berkata, kemalangan itu berlaku pada 8.55 pagi apabila Toyota Alphard yang membawa Rayer, empat lagi penumpang dan pemandu melanggar belakang sebuah Ford Kuga selepas kedua-dua kenderaan bertukar lorong untuk mengelak objek besar di jalan raya.

“Semua mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu cuai memandu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut.– 18 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen