Zuraida saran ladang teroka automasi, kurang bergantung pekerja asing


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata penggunaan automasi juga diyakini akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor perladangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2022.

PENGGUNAAN alatan automasi dalam sektor perladangan akan mengurangkan masalah kebergantungan terhadap pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk jangka panjang, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, menerusi kajian dan penyelidikan teknologi dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, pemilik-pemilik ladang disaran meningkatkan penggunaan automasi seperti dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak.

Penggunaan automasi juga diyakini akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor perladangan, katanya dalam kenyataan hari ini.

“KPPK (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi) juga percaya pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan kempen ‘Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan’ yang sedang dijalankan,” kata Zuraida.

Tambah menteri itu, KPPK juga akan mencari penyelesaian bagi menangani masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan terutamanya ladang kelapa sawit.

Kementerian itu katanya menyedari masalah kekurangan pekerja akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak 5 hingga 10%, seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).

“Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini adalah langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa bagi membendung penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

“Ketika ini KPPK berganding bahu dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera,” jelasnya.

Tambah Zuraida, kerajaan pada September 2021 telah bersetuju meluluskan rancangan untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Katanya, KPPK yakin sasaran ini akan dicapai dan isu berkaitan permit telah dibawa ke perhatian kementerian. – 18 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen