DUA militan Islam yang dituduh menculik dan membunuh empat warga asing di selatan Filipina ditahan hari ini selepas menyerah diri kepada tentera, kata pihak berkuasa.
Pelarian itu adalah ahli kumpulan penculikan untuk wang tebusan Abu Sayyaf dan diserahkan kepada polis di Pulau Jolo di wilayah Sulu, kata jurucakap tentera wilayah Alaric Delos Santos kepada AFP.
“Penyerahan diri mereka tidak bermakna mereka terlepas dari hukuman kes ini. Kerana itu kami menyerahkan mereka kepada polis,” katanya.
Abu Sayyaf adalah kumpulan pemberontak Islam yang sebahagian daripada mereka bersekutu dengan kumpulan Negara Islam (IS) yang melakukan pengeboman dan penculikan wang tebusan dalam tiga dekad yang lalu.
Kedua-dua suspek - Almujer Yadah dan Ben Quirino dituduh melakukan penculikan pada November 2016 serta membunuh pelayar Jerman Jurgen Kantner dan pasangan wanita serta rakan senegaranya.
Mayat wanita itu ditemui dengan kesan tembakan di atas kapal layar yang hanyut di Laut Sulu selepas penculik menaikinya.
Kantner dibawa ke Jolo dan dipenggal pada awal 2017 selepas mereka dilaporkan cuba membuat rundingan wang tebusan.
Militan juga didakwa melakukan pembunuhan warga Kanada John Ridsdel dan Robert Hall yang diculik pada September 2015 bersama teman wanita Filpina Halls dan seorang lelaki warga Norway dari pusat peranginan pelancong.
Abu Sayyaf memenggal kepala Ridsdel dan Hall pada 2016 tetapi kemudian membebaskan wanita itu serta warga Norway yang kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Delos Santos berkata tiada penculikan berlaku di wilayah itu sejak dua tahun lalu. Hanya kira-kira 20 militan Abu Sayyaf masih beroperasi di kawasan itu, tambahnya.
Kumpulan itu diketahui sudah mengumpulkan berjuta-juta dolar sebagai wang tebusan untuk membiayai kempen bersenjata mereka dan pada tahun sebelumnya menyasarkan kapal dagang di selatan, menculik anak kapal Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Pada Mei 2017 lelaki bersenjata Abu Sayyaf bersama-sama sekutu pro-IS yang lain merampas pusat bandar Marawi, ibu kota Islam negara kebanyakannya Katolik.
Ia mencetuskan pertempuran selama lima bulan yang memusnahkan sebahagian besar bandar itu dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh sebelum ia ditawan semula oleh tentera Filipina yang mendapat bantuan perisikan daripada tentera AS.
Seramai 67 anggota Abu Sayyaf di Sulu menyerah diri setakat tahun ini, kata satu kenyataan tentera. – AFP, 17 Jun, 2022.
Komen