THAILAND mengumumkan pada Jumaat akan menarik balik syarat yang mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di luar rumah dan tidak lagi memerlukan pelawat asing mendaftar sebelum melakukan perjalanan, ketika kes Covid-19 menurun dan kerajaan berusaha menarik pelancong kembali.
Pelitup muka diwajibkan di khalayak ramai di Thailand, termasuk di luar rumah, sejak pertengahan 2021 apabila varian Delta berleluasa.
Tetapi apabila wabak reda, kerajaan yang bergantung kepada pelancongan itu secara beransur-ansur melonggarkan sekatan Covid dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pengunjung.
Kelonggaran Thailand itu dibuat selepas langkah serupa oleh negara jiran termasuk Kemboja dan Singapura.
Taweesin Visanuyothin, jurucakap pasukan petugas Covid Thailand, berkata pemakaian pelitup muka di luar adalah secara sularela, tetapi masih disyorkan di kawasan sesak, tempat hiburan dan pengangkutan awam.
Beliau berkata kementerian kesihatan akan mengumumkan butiran lanjut mengenai kelonggaran itu termasuk bila ia akan berkuat kuasa.
Pada 1 Julai, kerajaan juga akan menamatkan sistem “Thailand Pass”, di mana pelancong asing perlu mendaftar dan menunjukkan bukti vaksinasi dan insurans kesihatan sebelum masuk ke negara itu.
Pelawat perlu membawa sijil vaksin atau mengambil ujian Covid semasa ketibaan.
Langkah itu dilihat sebagai cubaan untuk meningkatkan ekonomi, yang menyaksikan pertumbuhan terjejas oleh pandemik dan peningkatan kos sara hidup.
Terdapat lebih 1.6 juta ketibaan pelancong asing dalam tempoh enam bulan pertama 2022, dengan resit pelancong asing dicatatkan pada 99.7 bilion baht, menurut data kerajaan.
Ini berbanding kira-kira 40 juta pelancong asing yang melawat Thailand pada 2019, tahun terakhir sebelum pandemik.
Kes harian Covid-19 berlegar di bawah 3,500 dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan jumlah kematian di bawah 50 kes sehari selama sebulan.
Lebih tiga perempat daripada penduduk sudah disuntik dengan dua dos vaksin, dengan lebih 40% juga mendapat dos penggalak. – AFP, 17 Jun, 2022.
Komen