SETIAUSAHA Sulit Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan baginda meminta PAS menjelaskan pendiriannya berhubung Bon Odori.
Mohamad Munir Bani berkata kenyataan Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir kepada portal berita dalam Free Malaysia Today adalah tidak tepat.
“Kenyataan ‘Sultan mahu tahu pendirian PAS’ dan ‘Sultan memberitahu PAS pandangannya dan PAS berkata menghormatinya’ adalah tidak tepat dan bukan sebahagian daripada perbualan antara Sultan dan Ketua PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi,” katanya katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Sultan sekadar menyatakan pendirian baginda tidak menghalang perayaan Bon Odori daripada berlangsung di Selangor kerana berpandangan ia adalah perayaan kebudayaan.
“Sultan bertitah baginda tidak akan menghalang mana-mana orang Islam daripada menghadiri perayaan itu sehinggalah kajian mendalam dilakukan untuk memastikan sama ada ia perayaan kebudayaan atau keagamaan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam.”
Yunus dipanggil ke istana negeri semalam, beberapa hari selepas mendesak agar umat Islam mengelak perayaan Jepun bulan depan.
Sultan Sharafuddin sebelum itu menitahkan Jabatan Agama Islam negeri supaya tidak mengganggu Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai.
Bon Odori menjadi kontroversi selepas Menteri Hal Ehwal Agama PAS Idris Ahmad tidak menggalakkan umat Islam menyertai acara tahunan itu, yang didakwanya “dipengaruhi oleh unsur agama lain” menurut penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Ia diadakan selama 40 tahun, dan merupakan acara sosial untuk komuniti dan syarikat Jepun untuk memupuk muhibah.
Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan minggu lepas bertitah baginda mendapati sambutan itu tidak termasuk unsur keagamaan atau upacara. Baginda melawat acara itu bersama duta Jepun ketika itu ke Malaysia pada 2016. – 17 Jun, 2022.
Komen