TIMBALAN menteri undang-undang Mas Ermieyati Shamsudin menerima memorandum kebebasan badan kehakiman daripada Badan Peguam Malaysia, di Padang Merbok, Kuala Lumpur selepas polis menghalang peguam berarak ke Parlimen.
Lebih 300 peguam yang menyertai “Walk For Judicial Independence” sebelum ini dihalang daripada berarak ke Parlimen untuk menyampaikan memorandum pada 10.30 pagi.
Mas Ermieyati menerima memorandum itu bagi pihak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob daripada Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah.
“Terima kasih atas kerjasama semua. Saya memohon maaf atas kesulitan ini. Saya akan serahkan (memorandum) kepada Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan perdana menteri.
“Semoga keadilan dan kehakiman di negara ini akan terus diperkukuh,” katanya pada perhimpunan itu.
Cheah kemudian meminta semua peguam bersurai dari tempat letak kereta pada pukul 11.30 pagi.
Cheah berkata memorandum itu mengandungi empat tuntutan.
“Kami mahu kebebasan badan kehakiman dipelihara, kami mahu kerajaan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman dan kami mahu mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami juga mahukan pembaharuan perundangan untuk menetapkan parameter supaya dakwaan terhadap hakim yang bersidang boleh dilakukan dengan cara yang tidak menjejaskan keyakinan kehakiman.”
Cheah berkata rakan sejawatan mereka di Sabah dan Sarawak turut menyokong perarakan mereka hari ini.
Beliau berkata pada 27 Mei, Badan Peguam Malaysia dalam mesyuarat agung luar biasa bersetuju untuk mengecam tindakan SPRM dalam menyiasat hakim.
“Kami, Badan Peguam Malaysia, melihat ini sebagai satu ugutan terhadap badan kehakiman. Adakah ini melanggar prinsip asas pengasingan kuasa? Kami semua di sini untuk menyatakan kecaman kami terhadap tindakan SPRM.”
Cheah menambah mereka mahu hakim dapat menjalankan tugas kehakiman tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Ini katanya, penting untuk kebebasan badan kehakiman dan orang ramai boleh mengekalkan keyakinan terhadap sistem kehakiman.
“Ini penting bukan sahaja untuk peguam, ia penting untuk setiap rakyat di negara ini, ia penting untuk pelabur yang melabur di negara kita.
“Hanya apabila sistem kehakiman kita bebas, barulah mereka yakin dan boleh datang ke negara kita dengan yakin.”
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada April berkata kritikan terhadap hakim dan badan kehakiman sudah melampaui batas.
Walaupun hakim terbuka kepada kritikan, terutamanya mengenai kes berprofil tinggi, serangan baru-baru ini keterlaluan, tambahnya.
“Pihak kehakiman mengendalikan kes berprofil tinggi dan kepentingan awam sejak kebelakangan ini.
“Adalah perkara biasa bagi hakim menerima kritikan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
“Bagaimanapun, kritikan yang dilemparkan kepada hakim dan badan kehakiman, pada pendapat saya, telah melampaui batas.”
SPRM membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.
Nazlan adalah hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Blog Malaysia Today mendakwa Nazlan disiasat kerana RM1 juta yang “tidak dapat dijelaskan” dalam akaun banknya. – 17 Jun, 2022.
Komen