Tafsiran regresif terhadap Islam kekang kemajuan wanita, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Tinjauan menunjukkan golongan muda percaya wanita kurang memainkan peranan dalam sesebuah masyarakat. – Gambar EPA, 17 Jun, 2022.

PEMIKIRAN konservatif dan tafsiran berat sebelah menghalang usaha mengangkat peranan wanita sebagai pemimpin di Malaysia, kata seorang aktivis.

Pegawai program Sisters in Islam (SIS) Nurhuda Ramli memberitahu forum semalam bahawa disebabkan cara pemikiran mundur yang disokong oleh banyak kumpulan agama yang didominasi kaum lelaki, ramai belia di negara ini enggan menerima bahawa mereka boleh memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat.

“Masalah yang kita hadapi hari ini ialah kita tidak mengajar anak-anak kita di sekolah (sekolah agama) yang lelaki dan wanita adalah sama, wanita juga boleh menjadi pemimpin dan sejarah telah menunjukkan wanita boleh memimpin.

“Dalam al-Quran ada cerita tentang Ratu Syeba (Puteri Balqis) yang merupakan seorang pemimpin yang hebat. Bagaimanapun kisah kepimpinannya tidak diketengahkan malah jika diceritakan, cerita itu berat sebelah (versi berorientasikan lelaki),” kata Nurhuda.

Dalam pembentangannya, Nurhuda berkata majoriti belia yang ditemu bual oleh Merdeka Center dan SIS dalam tinjauan menunjukkan mereka percaya wanita kurang memainkan peranan dalam sesebuah masyarakat.

“Hampir separuh daripada responden daripada 1,216 individu agak bersetuju bahawa lelaki menjadi pemimpin politik yang lebih baik berbanding wanita. Dalam soalan lain, 44% responden atau 486 individu sangat bersetuju yang seorang wanita tidak boleh bekerja jika suaminya menyuruhnya berbuat demikian.

“Naratif isteri yang taat harus dipaparkan kepalsuannya kerana dalam masyarakat kita, wanita solehah disalahtafsirkan sebagai wanita yang taat sedangkan hakikatnya, ketaqwaan tidak harus terikat dengan ketaatan.

“Mengenai soalan jika wanita boleh menjadi perdana menteri, 57% atau 694 berkata wanita tidak boleh menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Nurhuda berkata usaha Islamisasi berterusan yang disokong oleh banyak kumpulan termasuk organisasi yang disokong kerajaan merendahkan taraf wanita di Malaysia.

“Sudah tentu kita boleh mulakan dengan mengajar anak-anak kita bahawa wanita boleh menjadi sebaik lelaki, tetapi adakah guru kita mempunyai keupayaan untuk memahami tanggapan bahawa wanita adalah sebaik lelaki?

“Satu jenis naratif perlu dihentikan, misoginis Islam yang berat sebelah mesti dihentikan. Sudah tiba masanya untuk kita mempunyai seorang mufti wanita atau ulama (pemimpin agama) dalam masyarakat kita,” tegasnya.

Nurhuda berucap pada majlis Perspektif Belia Islam Malaysia mengenai Politik, Ekonomi, Kehidupan Sosial dan Peranan Islam anjuran Merdeka Center dan SIS.

Tinjauan itu dijalankan antara akhir Oktober 2021 dan Januari 2022, melibatkan 1,216 anak muda Islam di seluruh negara, berumur 15 hingga 25 tahun. – 17 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen