Azmin umum kekal dalam Bersatu


Menteri kanan Azmin Ali umum kekal dalam Bersatu dan menegaskan sokongan ke atas presiden parti itu Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2022.

MENTERI kanan Azmin Ali mengumumkan kekal dalam Bersatu dan turut menegaskan sokongan ke atas presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Azmin menyatakan pendirian tersebut selepas Zuraida Kamaruddin yang turut meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu bertindak keluar parti semula dan kini menganggotai PBM.

Azmin dalam kenyataannya menyifatkan Bersatu sebagai parti yang “dinamik, progresif dan inklusif” dan menurutnya mampu membangunkan Malaysia.

“Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin menegaskan idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya,” katanya yang menghargai keyakinan Muhyiddin ke atasnya dan komitmen beliau bersama Bersatu.

Azmin juga menyifatkan parti itu sebagai pergerakan yang memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam dan pada masa sama mendakap negara berbilang kaum dan agama.

Katanya, Bersatu bertindak demikian dengan meminda perlembagaan parti untuk menarik penyertaan ahli pelbagai kaum.

Beliau seterusya memuji dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin sewaktu ahli Parlimen Pagoh itu menjadi perdana menteri selepas menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Gombak itu antara lain menyebut pakej rangsangan ekonomi dam pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran yang dilakukan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Walhasil, Malaysia diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab.

“Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.”

Azmin kekal sebagai menteri selepas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos 2020.

Zuraida yang juga kekal sebagai menteri dalam Kabinet Ismail mengumumkan keluar Bersatu pada bulan lalu.

Perkembangan itu memberi tekanan baharu ke atas Ismail yang kini menjadi perdana menteri dengan sokongan majoriti yang diragui.

Kedudukannya terjamin buat masa ini dengan perjanjian persefahaman melibatkan enam perkara dengan pembangkang, antaranya penggubalan undang-undang melarang wakil rakyat lompat parti. – 17 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen