TIGA pempengaruh media sosial didakwa mengikut undang-undang “lese majeste” susulan iklan kontroversi dihasilkan untuk sebuah syarikat e-dagang yang didakwa mempersendakan seorang ahli keluarga diraja.
Klip dipaparkan di TikTok bagi tujuan promosi platform jual beli dalam talian Lazada, membangkitkan kemarahan orang ramai yang menggesa syarikat itu diharamkan di Thailand.
Tindakan itu juga menyebabkan tentera Thailand menghalang kenderaan penghantaran syarikat berkenaan dari premisnya.
Kritikan terhadap monarki dianggap “taboo” di Thailand di mana Raja Maha Vajiralongkorn serta keluarganya dilindungi dengan undang-undang diraja paling tegas di dunia dan setiap pertuduhan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Kolonel Polis Siriwat Deepo dari Bahagian Pencegahan Jenayah Teknologi, mengesahkan penahanan tiga individu yang berlakon dalam klip video terbabit, iaitu Anuwat Pratumklin, Kittikhun Thamakitirat dan Thidaporn Chaokovieng.
Bagaimanapun, peguam Duangrat Srinaunt yang mewakili mereka berkata ketiga-tiga pempengaruh terbabit sudah dibebaskan dengan ikat jamin selain menafikan tuduhan berkenaan.
Menerusi dua klip video yang tular bulan lalu, Thidaporn yang memakai pakaian sutera tradisional Thailand, melakonkan watak ibu seorang pempengaruh sambil duduk di atas kerusi roda.
Babak terbabit mengundang kemarahan penyokong sistem pemerintahan beraja yang mendakwa ia sebagai penghinaan kepada ahli keluarga diraja.
Klip terbabit juga mengundang kritikan daripada golongan kurang upaya yang menyifatkannya sebagai tidak hormat kepada pengguna kerusi roda.
Sementara itu, Lazada, platform jual beli dalam talian terbesar di Asia Tenggara mengemukakan permohonan maaf bulan lalu.
“Kami faham kandungan terbabit menyebabkan orang awam trauma dan menjatuhkan maruah,” kata Lazada. – AFP, 17 Jun, 2022.
Komen