Hampir AS$670 juta masuk akaun Najib, kata saksi kes 1MDB


Ravin Palanisamy

Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hampir AS$670 juta daripada seorang individu dan beberapa syarikat dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak dalam tempoh tiga tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

HAMPIR AS$670 juta daripada seorang individu dan beberapa syarikat dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak dalam tempoh tiga tahun, kata saksi pada perbicaraan kes rasuah melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengurus Unit Swift AmBank Wedani Senen memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kesemua wang itu melibatkan lima transaksi, dipindahkan ke akaun AmPrivate Banking yang berakhir dengan nombor “694” milik bekas perdana menteri itu.

Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata AS$20 juta diterima daripada Putera Faisal Turki Al-Saud melalui dua transaksi pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Menurut Wedani, dua lagi transaksi berjumlah AS$30 juta dipindahkan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd, iaitu syarikat milik Eric Tan). Sebanyak AS$4,999,988 dan AS$24,999,988 dipindahkan masing-masing pada 30 Oktober 2012 dan 19 November 2012, katanya kepada mahkamah.

Putera Faisal dan Eric Tan adalah sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Wedani juga memaklumkan sebanyak AS$620 juta dipindahkan daripada Tanore Finance Corp pada 22 Mac 2013.

Jelasnya, sebanyak pemindahan wang ke dalam dua akaun peribadi Najib yang berakhir dengan nombo “694” dan “800” melibatkan 12 transaksi.

Namun, disebabkan kekangan masa, Wedani hanya menyatakan lima transaksi di atas. Butiran selebihnya akan disebut semasa membacakan keterangan saksinya pada Isnin depan. – 16 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen