LANDASAN kereta api Hotan-Ruoqiang mula beroperasi hari ini dan ia sekali gus melengkapkan rangkaian rel di wilayah Xinjiang, China.
Bersambung dengan landasan sedia ada, ia sekali gus menjadi rel padang pasir pertama di dunia sepanjang 2,712 kilometer melintasi padang pasir Taklimakan.
Landasan kereta api Hotan-Ruoqiang sepanjang 825 kilometer dengan kelajuan operasi 120 kilometer sejam itu mempunyai 22 buah stesen dan 11 daripadanya menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang.
Difahamkan, projek pembinaan landasan itu bermula pada Disember 2018 dengan pelbagai cabaran dihadapi memandangkan keadaan geografi di padang pasir.
Bagi mengatasi masalah pergerakan gumuk pasir (berbentuk sabit yang hanya terdapat di kawasan gurun) lima buah jambatan khusus telah dibina bagi mengelakkan pasir menghakis landasan.
Di samping itu, usaha untuk mengawal pergerakan pasir juga diutamakan sepanjang proses pembinaannya, manakala sebanyak 13 juta batang pokok telah ditanam di sepanjang landasan yang bertindak sebagai benteng. – Bernama, 16 Jun, 2022.
Komen