Ramai belia Islam mahu bebas bersuara namun sokong autoritarian, menurut tinjauan


Alfian Z.M. Tahir

Rata-rata responden golongan muda Islam di Malaysia mahukan pemimpin yang lantang dan keras supaya dapat membawa kestabilan negara namun dalam masa sama bersetuju orang ramai perlu bebas bersuara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2022.

KEBANYAKAN belia Islam di negara ini bersetuju orang ramai perlu bebas bersuara dan menunjukkan keyakinan mereka tanpa rasa takut, menurut tinjauan Merdeka Center dan Sisters in Islam (SIS).

Bagaimanapun, hampir separuh daripada responden tinjauan “Malaysian Muslim Youths’ Perspective on Politics, Economy, Social life and the role of Islam” merasakan wajib mempunyai pemimpin yang autoritarian untuk membawa kestabilan.

“Daripada 1,216 responden, 1,131 individu bersetuju semua orang harus dibenarkan bersuara dan menyatakan perasaan mereka apabila didakwa.

“Ironinya, hampir separuh atau 572 individu merasakan negara memerlukan pemimpin yang kuat. Satu cara yang autoritarian untuk memastikan kita menjadi sebuah negara yang stabil,” kata Azlina Halit dari Merdeka Centre pagi ini.

Menurut pengarah eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian, tinjauan itu dijalankan antara penghujung Oktober 2021 dan Januari 2022, melibatkan 1,216 belia Islam di seluruh negara berusia 15 hingga 25 tahun.

Mengulas lanjut, Azlina berkata majoriti belia Islam yang ditemu bual menyokong demokrasi namun menolak sekularisme dan kebebasan beragama.

“Sebagai contoh 66 peratus atau 803 individu bersetuju rakyat Malaysia harus dilayan sama rata tanpa mengira bangsa atau agama.

“Tetapi mengenai sekularisme, sama ada Islam dan politik perlu dipisahkan, hanya 25 peratus atau 304 responden bersetuju manakala 912 belia Islam tidak bersetuju.”

Tambah Azlina belia Islam juga menentang cara hidup LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) walaupun 63 peratus atau 766 daripada mereka bersetuju seseorang itu harus bebas memilih cara hidup mereka.

“Apabila bercakap tentang LGBT, ateis, dan minoriti lain, hanya 450 atau 37 peratus responden berkata mereka akan menghormati cara orang lain menjalani kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, 52 peratus atau 632 individu merasakan negara sedang menuju ke arah yang salah.

Beliau berkata responden bimbang dengan keadaan politik semasa negara diikuti kebimbangan ekonomi dan pentadbiran.

“Antara kebimbangan yang diluahkan oleh belia Islam adalah krisis kepimpinan, rasuah dan isu Covid-19.” – 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen